Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Perpustakaan Desa Bukan Sekadar Tempat Membaca, Kini Hab Ilmu Dan Perpaduan Komuniti

Perpustakaan Desa

SEGAMAT, JOHOR, 19 September – Peranan Perpustakaan Desa terus diperkasa daripada sebuah ruang membaca kepada hab ilmu, literasi dan interaksi komuniti, sekali gus menyumbang kepada usaha membina negara bangsa yang berilmu, berjati diri dan bersatu padu. Perkara ini diterjemahkan Program Tekad Komuniti, Semarak Perpaduan (TKSP) 2026 anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Segamat, Johor. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Tuan Yuneswaran Ramaraj, Timbalan Menteri Perpaduan Negara.

Menggabungkan elemen literasi, warisan, seni budaya dan pembelajaran sepanjang hayat, program ini mendekatkan Perpustakaan Desa dengan masyarakat menerusi pendekatan yang lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan komuniti. Penghayatan sejarah, budaya dan warisan tempatan turut diketengahkan bagi menyemai jati diri, meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian serta memperkukuh hubungan antara masyarakat pelbagai latar belakang.

Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah Kelas Membaca (KECA) Perpustakaan Desa PNM, yang memperkasa petugas Perpustakaan Desa untuk membantu kanak-kanak membina minat dan meningkatkan kemahiran membaca sejak awal. Petugas turut dilengkapkan dengan kemahiran mengendalikan aktiviti galakan membaca serta penggunaan pelbagai bahan bacaan bagi menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan.

KECA bukan sahaja memperluas akses kanak-kanak kepada aktiviti literasi dalam komuniti, malah memperkukuh peranan Perpustakaan Desa sebagai ruang pendidikan tidak formal yang inklusif. Pembudayaan membaca yang bermula sejak usia awal menjadi asas penting dalam membentuk generasi berilmu, kritis dan berdaya saing serta menyokong pembelajaran sepanjang hayat. Usaha ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 4) dan memperkukuh gerakan membudayakan membaca dalam masyarakat ke arah merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai sebuah Negara Membaca menjelang 2030.

TKSP 2026 turut membawa ilmu yang dekat dengan kehidupan masyarakat menerusi literasi maklumat dan u-Pustaka, kesedaran terhadap ancaman penipuan dalam talian, aktiviti kesihatan serta pertandingan berteraskan bahasa, kreativiti, warisan dan budaya Johor. Pengisian ini membuka ruang kepada masyarakat pelbagai usia untuk belajar, berinteraksi dan menghargai kepelbagaian dalam suasana yang menyemarakkan perpaduan.

Kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta, institusi pendidikan dan NGO pula memperkukuh Perpustakaan Desa sebagai platform yang menghubungkan masyarakat dengan ilmu, perkhidmatan dan peluang pembangunan komuniti.

Melalui TKSP 2026, KPN melalui PNM terus membawa Perpustakaan Desa lebih dekat kepada rakyat iaitu bukan sekadar sebagai tempat membaca, tetapi sebagai hab komuniti yang menyuburkan ilmu, memperkasa literasi, memupuk jati diri dan menyemarakkan perpaduan sebagai asas penting dalam membina negara bangsa.

Intipati
  • TKSP 2026 di Segamat memperkasa Perpustakaan Desa sebagai hab ilmu dan perpaduan komuniti.
  • Kelas Membaca PNM membantu kanak-kanak membina minat serta kemahiran membaca sejak awal.
  • Program turut menawarkan literasi maklumat, u-Pustaka, kesedaran penipuan dalam talian dan aktiviti budaya.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan