Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Arab Saudi Keluarkan Amaran Kecemasan, Penduduk Jeddah, Makkah & Taif Diminta Berlindung

Arab Saudi Keluarkan Amaran
Kredit: Anadolu Ajansi

Arab Saudi pada Selasa mengeluarkan amaran kecemasan mengenai potensi bahaya di Jeddah, Makkah dan Taif di bahagian barat negara itu, sambil menggesa penduduk mendapatkan perlindungan serta mematuhi arahan keselamatan rasmi, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut Pertahanan Awam Arab Saudi, amaran berkenaan dikeluarkan menerusi Platform Amaran Awal Kebangsaan bagi Kecemasan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak memperincikan jenis ancaman atau bahaya yang dimaksudkan.

Menerusi amaran itu, penduduk dinasihatkan supaya bertenang dan segera bergerak ke lokasi selamat yang terdekat.

Arab Saudi Keluarkan Amaran Kecemasan

Orang ramai turut dinasihatkan supaya berada di dalam bangunan atau bilik di bahagian dalam yang jauh daripada tingkap serta kekal di situ sehingga keadaan kembali selamat.

Pertahanan Awam turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan terbuka, tingkap, balkoni dan bumbung bangunan.

Selain itu, mreka yang berada di luar pula diminta memasuki bangunan terdekat atau berlindung di sebalik penghadang yang kukuh.

Pemandu yang menerima amaran itu pula diarahkan berhenti di tempat selamat dan menjauhi jambatan serta bangunan tinggi.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya mengelakkan kawasan sesak dan berbahaya serta mengikuti arahan yang dikeluarkan menerusi saluran rasmi.

Amaran itu dikeluarkan ketika pertempuran antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi di Yaman semakin memuncak, susulan beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron terhadap bandar serta infrastruktur di Arab Saudi sejak beberapa hari lalu.

Tentera Arab Saudi pula bertindak balas dengan melancarkan serangan terhadap kedudukan Houthi di Yaman.

Intipati
  • Arab Saudi mengeluarkan amaran kecemasan untuk Jeddah, Makkah dan Taif pada Selasa.
  • Penduduk diminta berlindung di lokasi selamat dan mematuhi arahan keselamatan rasmi.
  • Pihak berkuasa tidak memperincikan jenis ancaman atau bahaya dalam amaran kecemasan itu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan