Selain sarapan pagi, perkhidmatan bilik dan kemudahan yang disediakan, antara perkara yang sering membuatkan pengalaman menginap di hotel terasa lebih selesa ialah katil yang kemas, bersih dan cadarnya diselit rapi.
Namun, ada kalanya cadar di hotel diselit terlalu ketat hingga menyukarkan tetamu untuk memasukkan kaki ke bahagian bawah katil dan mendapatkan ruang yang selesa di bawah selimut.
Jadi, kenapa sebenarnya katil hotel dibuat dengan cara sedemikian?
Sebab cadar hotel diselit terlalu ketat
Menariknya, amalan menyelit cadar dengan begitu kemas ini sebenarnya bukan bermula dalam industri perhotelan, sebaliknya mempunyai kaitan dengan hospital.
Kaedah yang dikenali sebagai “hospital corner” merupakan teknik melipat dan menyelit cadar supaya ia kekal kemas serta kukuh pada bahagian bucu katil.
Sebelum cadar bergetah atau fitted sheet dicipta pada tahun 1950-an, cadar rata biasa merupakan pilihan yang digunakan untuk mengalas katil.
Di hospital, aspek kebersihan dan kekemasan sememangnya penting. Meletakkan cadar secara longgar pada katil bukanlah pilihan yang ideal kerana ia boleh menyebabkan pelbagai masalah.
Cadar yang longgar boleh tersangkut pada kaki peralatan perubatan, splint, alat sokongan atau tongkat pesakit. Bagi pesakit yang mengalami kecederaan pula, katil yang tidak dikemaskan dengan baik boleh meningkatkan risiko mereka terjatuh ketika tidur atau bangun dari katil.
Justeru, cadar diselit dengan kemas menggunakan teknik “hospital corner” bagi mengelakkan masalah tersebut, selain memastikan katil sentiasa bersih, teratur dan kemas.
Turut digunakan dalam ketenteraan
Menjelang pergantian abad, amalan membuat katil dengan begitu kemas turut menjadi kebiasaan dalam ketenteraan.
Menurut satu cerita yang sering dikaitkan dengan amalan tersebut, katil anggota tentera perlu dibuat begitu kemas sehingga duit syiling boleh melantun apabila diletakkan di atasnya.
Selain memastikan kawasan berek sentiasa kemas, cara ini juga memberikan satu standard yang perlu dicapai oleh para rekrut.
Mereka juga dinilai berdasarkan keupayaan untuk mengingati, mengikut dan melaksanakan beberapa langkah arahan ketika mengemas katil.
Kesannya, cadar yang diselit ketat mempunyai sejarah yang panjang dan dikaitkan dengan nilai kebersihan, ketertiban serta ketepatan.
Nilai-nilai inilah yang kemudiannya menjadikan teknik tersebut turut popular dalam bilik hotel.
Kenapa hotel tak guna fitted sheet sahaja?
Persoalannya, dengan adanya fitted sheet yang mempunyai getah pada bahagian tepi, mengapa hotel masih menggunakan kaedah menyelit cadar secara manual?
Bukankah fitted sheet lebih mudah digunakan dan boleh menjimatkan masa pekerja pengemasan?
Salah satu sebabnya sekali lagi berkait dengan kebersihan.
Suhu air panas yang diperlukan untuk mencuci cadar secara bersih dan higienik bukanlah sesuatu yang baik untuk jalur getah nipis pada fitted sheet.
Jika di rumah, mencuci cadar menggunakan air panas setiap beberapa minggu mungkin tidak memberikan kesan yang terlalu ketara.
Namun, keadaan berbeza bagi hotel kerana cadar perlu dicuci menggunakan air panas dengan lebih kerap, malah boleh berlaku setiap hari.
Penggunaan berulang kali dalam keadaan tersebut boleh menyebabkan getah pada fitted sheet kehilangan keanjalannya dengan lebih cepat dan akhirnya rosak.
Cadar biasa lebih mudah disimpan
Selain itu, fitted sheet juga terkenal sebagai cadar yang agak sukar untuk digosok dan dilipat dengan kemas.
Cadar biasa pula lebih mudah digosok sehingga rata sebelum dilipat dan disusun untuk tujuan penyimpanan.
Apabila digabungkan dengan kelebihan dari segi kekemasan, kebersihan dan penampilan katil yang lebih rapi, terdapat beberapa sebab mengapa hotel masih mengekalkan penggunaan cadar yang diselit ketat sehingga hari ini.
Jadi, lain kali apabila kaki terasa seperti “terperangkap” di bawah cadar hotel yang diselit terlalu kemas, sekurang-kurangnya sudah tahu bahawa teknik tersebut mempunyai sejarah yang panjang dan bukan sekadar untuk mencantikkan katil.

