Setiap kali naik eskalator, mungkin ramai yang hanya berdiri dan menunggu sehingga sampai ke tingkat dituju tanpa menghiraukan garisan kuning pada anak tangga.
Tapi tahukah anda, garisan itu sebenarnya bukan sekadar hiasan?
Disebabkan ia terdapat pada hampir setiap anak tangga, mungkin ada yang menganggap jalur kuning tersebut sekadar digunakan untuk membezakan antara satu anak tangga dengan yang lain.
Rupanya, garisan itu mempunyai fungsi keselamatan tersendiri.
Fungsi Garisan Kuning Pada Eskalator
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perlis pada 2015 pernah berkongsi mengenai garisan tersebut yang dikenali sebagai Garisan Sempadan Tangga, antara alat keselamatan pilihan bagi eskalator.
Jalur berwarna kuning itu berfungsi memperjelaskan bahagian tepi setiap anak tangga, selain menjadi sempadan kawasan pengguna sepatutnya berdiri ketika menggunakan eskalator.
Malah, garisan penanda tersebut juga boleh membantu menunjukkan pergerakan anak tangga kepada individu yang mempunyai masalah penglihatan.

Menurut Schindler, sempadan berwarna kuning terang pada setiap anak tangga menunjukkan dengan jelas kawasan selamat untuk pengguna berdiri.
Ia membantu pengguna kekal berada dalam kawasan berkenaan, sekali gus mengurangkan risiko kaki atau kasut tersepit di antara bahagian sisi (skirting) dengan anak tangga eskalator.
Jadi, selepas ini kalau naik eskalator, jangan anggap garisan kuning itu sekadar sebahagian daripada reka bentuknya.
Pastikan anda berdiri di dalam kawasan yang ditandakan bagi mengurangkan risiko kejadian yang tidak diingini.



