Pernahkah anda terfikir mengapa pili bomba di tepi jalan mempunyai warna yang berbeza-beza?
Jika dilihat pada alat pemadam api, warna dan simbol yang digunakan biasanya menunjukkan jenis kebakaran yang boleh dipadamkan serta bahan pemadam yang terkandung di dalamnya.
Sebagai contoh, kebakaran melibatkan cecair mudah terbakar, peralatan elektrik, gas atau minyak memerlukan jenis alat pemadam api yang berbeza mengikut kelas kebakaran.
Namun, perkara yang sama tidak semestinya berlaku pada pili bomba.
Berbeza dengan alat pemadam api, pili bomba tidak mengandungi bahan pemadam yang berbeza.
Sebaliknya, kemudahan itu membolehkan pasukan bomba mendapatkan bekalan air daripada saluran paip utama ketika berlaku kecemasan.
Jadi, kalau fungsinya sama iaitu membekalkan air kepada pasukan bomba, mengapa pili bomba masih dicat dengan warna yang berbeza?
Hari ini, SK kongsikan maksud di sebalik warna pili bomba yang mungkin selama ini tidak pernah kita fikirkan.
Bergantung kepada peraturan setiap kawasan
Jawapannya bergantung kepada lokasi kerana setiap negara, negeri, bandar atau pihak berkuasa tempatan mungkin mempunyai peraturan dan sistem penandaan yang berbeza.
Di negara seperti Jepun, Jerman, Sepanyol dan United Kingdom, pili bomba lazimnya terletak di bawah tanah dan ditutup dengan penutup atau jeriji logam apabila tidak digunakan.
Di United Kingdom, lokasi pili bomba bawah tanah biasanya ditunjukkan melalui papan tanda kecil berwarna kuning dengan huruf ‘H’ berwarna hitam.
Papan tanda itu turut memaparkan maklumat seperti saiz paip air dan jarak pili bomba berkenaan dari lokasi tersebut dalam unit meter.
Berbeza pula di Amerika Syarikat, pili bomba lazimnya dipasang di atas tanah, biasanya di tepi jalan atau kaki lima.
Bekalan air dari saluran paip bawah tanah disambungkan kepada struktur logam yang berada di atas tanah, yang dikenali sebagai ‘barrel’.
Bahagian ini biasanya dicat dengan warna yang mudah dilihat seperti merah, kuning atau putih supaya pili bomba dapat dikenal pasti dengan pantas ketika kecemasan.
Namun, bahagian muncung dan penutup bulat atau ‘bonnet’ pada pili bomba pula sering menggunakan warna yang berbeza.
Dalam sesetengah kawasan, perbezaan warna itu bukan sekadar untuk tujuan penampilan, sebaliknya membawa maklumat penting kepada anggota bomba.
Warna tunjuk kadar aliran air
Menurut National Fire Protection Association (NFPA) di Amerika Syarikat, warna pada bahagian ‘bonnet’ pili bomba lazimnya digunakan dalam sistem pengekodan warna bagi menunjukkan anggaran kapasiti aliran air yang mampu disalurkan oleh pili tersebut.
Kapasiti itu diukur dalam unit gelen seminit atau ‘gallons per minute’ (gpm).
Pili bomba paling berkuasa dengan kadar aliran melebihi 1,500 gpm dikategorikan sebagai Kelas AA dan lazimnya dicat biru muda.
Sementara itu, pili bomba Kelas A yang mempunyai kadar aliran antara 1,000 hingga 1,499 gpm biasanya berwarna hijau.
Pili bomba Kelas B pula mempunyai kadar aliran antara 500 hingga 999 gpm dan lazimnya dicat oren.
Manakala pili bomba Kelas C yang mempunyai kadar aliran sehingga 500 gpm biasanya ditandakan dengan warna merah.
Bagaimanapun, sistem warna dan jumlah kadar aliran tersebut tidak semestinya sama di setiap kawasan di Amerika Syarikat kerana ia boleh berbeza mengikut negeri, bandar dan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.
Secara ringkasnya, warna pada sesetengah pili bomba digunakan untuk membantu anggota bomba mengenal pasti sejauh mana banyak air yang boleh dibekalkan oleh pili tersebut ketika kecemasan.
Jadi, warna berbeza pada pili bomba bukan sekadar untuk menjadikannya lebih mudah dilihat, tetapi dalam sesetengah sistem turut memberikan maklumat penting mengenai keupayaan aliran airnya.
Bagaimana pula di Malaysia?
Di Malaysia, warna pili bomba turut mempunyai maksud tertentu.
Pili bomba berwarna merah merujuk kepada pili bomba awam, iaitu pili yang dipasang bagi menyediakan bekalan air tanpa meter untuk kegunaan operasi pemadaman kebakaran.
Sementara itu, pili bomba berwarna kuning pula merujuk kepada pili bomba swasta.
Pili ini dipasang bagi menyediakan bekalan air bermeter ke sesuatu premis atau kawasan bagi tujuan operasi pemadaman kebakaran.
Jadi, jika ternampak pili bomba berwarna merah atau kuning, warnanya bukan sekadar untuk memudahkan ia dikenal pasti.
Sebaliknya, warna tersebut turut menunjukkan jenis pili bomba dan sistem bekalan air yang digunakan.

