Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bukan Sekadar Konvoi, RMC NorthQuest Perlis Bantu Rancakkan Ekonomi Setempat

northquest
Peserta - peserta konvoi RMC NorthQuest Perlis 2026 sentiasa bersemangat jiwa permotoran walaupun hujan lebat, renyai dan rintik. FOTO: Haziq Hakimi/ SK

Jelajah bermotosikal bukan sekadar mengumpulkan peminat jentera berkuasa tinggi, malah menjadi platform untuk memperkenalkan keunikan destinasi pelancongan tempatan serta membantu merancakkan ekonomi komuniti setempat.

Menerusi penganjuran Reappear Motorcycle Club Malaysia (RMC) NorthQuest Perlis 2026, pelbagai tarikan pelancongan di negeri itu diketengahkan sepanjang program selama tiga hari dua malam bermula 23 hingga 25 Oktober 2026.

Pengasas Bersama RMC, Fadzlaini Ibrahim ketika ditemui Siakap Keli di Harley Davidson Juru hari ini. FOTO: Haziq Hakimi/ SK

Pengasas Bersama RMC, Fadzlaini Ibrahim yang lebih dikenali sebagai DJ Ninie berkata, Perlis dipilih sebagai destinasi pertama bagi jelajah utara berkenaan dalam usaha mengangkat produk pelancongan negeri itu kepada masyarakat menerusi aktiviti permotoran.

Menurut beliau, program yang dirancang untuk dijadikan acara tahunan itu menghimpunkan 61 peserta dan petugas, termasuk komuniti permotoran dari beberapa negeri di Malaysia.

“Ini adalah jelajah utara yang pertama dan dijangkakan kita akan mengadakannya setiap tahun. Perlis menjadi destinasi pertama yang dipilih untuk kita mengangkat produk-produk pelancongan yang ada di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup RMC NorthQuest Perlis 2026 yang diserikan dengan lawatan ke Harley-Davidson Juru, sekali gus menandakan berakhirnya jelajah bertemakan Jelajah Pesona Perlis: Satu Konvoi Seribu Keindahan.

Jelasnya, konvoi yang melibatkan 38 motosikal Harley-Davidson itu memulakan perjalanan dari Putrajaya pada 23 Oktober sebelum tiba di Shell Titi Tinggi, Perlis, pada sebelah petang hari yang sama.

Ujarnya, sambutan yang diterima daripada masyarakat dan pihak berkaitan di Perlis amat menggalakkan, selain sokongan kerajaan negeri yang membantu menjayakan program berkenaan.

Menurut DJ Ninie, hari kedua program memberi peluang kepada peserta meneroka pelbagai lokasi pelancongan, termasuk destinasi popular serta tarikan baharu yang berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan negeri.

Peserta - peserta RMC diraikan dengan penuh meriah apabila dijamu sarapan pagi di Ayer Hitam hari ini sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. FOTO: Haziq Hakimi/ SK

“Peserta memulakan aktiviti seawal pukul 8 pagi untuk meneroka lokasi pelancongan, termasuk makanan, minuman dan tempat menarik di Perlis. Semua peserta dapat menikmati setiap aktiviti yang telah disusun oleh kerajaan negeri,” katanya.

Tambah beliau, perjalanan pulang pada hari ketiga turut diselitkan dengan persinggahan di lokasi berkaitan bagi meneroka keunikan makanan tempatan sebelum konvoi menamatkan jelajah berkenaan.

Katanya, penganjuran itu bukan sahaja memberi ruang kepada peserta menikmati keindahan Perlis, malah berpotensi membantu meningkatkan aktiviti ekonomi setempat melalui kehadiran peserta dan perbelanjaan sepanjang perjalanan.

Promosi Pelancongan Melalui Permotoran

Program Motorcycle Tourism tahunan itu bertujuan memperkenalkan keunikan destinasi pelancongan Perlis kepada masyarakat melalui pengembaraan bermotosikal, selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Penganjuran berkenaan turut mengetengahkan tarikan alam semula jadi, warisan, budaya serta keistimewaan pelancongan negeri itu, sekali gus membuka peluang kepada komuniti permotoran untuk mengenali destinasi tempatan dengan lebih dekat.

Kelab RMC yang ditubuhkan pada 2019 menjadi antara platform menghimpunkan peminat motosikal berkuasa tinggi menerusi aktiviti konvoi dan pengembaraan bermotosikal.

Program kali ini melibatkan peserta dari Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang, sekali gus mempertemukan komuniti permotoran dari pelbagai negeri bagi menjayakan misi promosi pelancongan tersebut.

Dari aspek keselamatan, kawalan sepanjang konvoi di Perlis dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan perjalanan peserta berlangsung dengan teratur.

Sementara itu, Shell Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kawalan Keselamatan Sentral dan Sembang@ Jln Sultan Ismail merupakan rakan strategik serta penaja bagi penganjuran konvoi berkenaan.

Penganjuran NorthQuest Perlis 2026 diharap dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang bukan sahaja mengukuhkan hubungan dalam komuniti permotoran, malah memperluas promosi destinasi pelancongan tempatan kepada masyarakat.

Intipati
  • RMC NorthQuest Perlis 2026 berlangsung tiga hari dua malam bermula 23 Oktober 2026.
  • Program itu menghimpunkan 61 peserta dan petugas, termasuk komuniti permotoran dari beberapa negeri.
  • Konvoi 38 motosikal Harley-Davidson mempromosikan tarikan pelancongan Perlis dan ekonomi setempat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan