Kalau kebanyakan pelumba memilih menaiki pesawat untuk bergerak dari Malaysia ke Singapura, pemandu pasukan Cadillac Formula 1 (F1), Valtteri Bottas memilih cara yang jauh lebih mencabar apabila meneruskan perjalanan dengan berbasikal.
Terbaharu, Bottas berjaya menamatkan kayuhan sejauh 161.91 kilometer dari Port Dickson ke Muar dalam tempoh lima jam 45 minit, berdasarkan rekod Strava miliknya.

Kayuhan itu merupakan sebahagian daripada perjalanan Bottas dari Malaysia ke Singapura menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) akan datang.
Menerusi rekod yang dikongsikan, kayuhan hari keduanya bermula dari Port Dickson, Negeri Sembilan, sebelum melalui laluan Linggi, Masjid Tanah, Bandar Melaka dan seterusnya ke Muar, Johor.
Bottas turut merekodkan ketinggian terkumpul (elevation gain) sebanyak 473 meter selain mencatat tiga pencapaian dalam kayuhan berkenaan.
Lebih menarik, dia turut mencatat pencapaian berada di tempat kelima sepanjang masa di laluan Itsaso Bazter - Ikan Bakar Gravel Road.
Sebelum ini, Bottas memulakan perjalanan dari kawasan Sepang dan melakukan kayuhan sejauh 56.60 kilometer selama kira-kira dua jam sebelum tiba di Port Dickson.
Menerusi perkongsian terdahulu di InstaStory, pelumba berkenaan turut menunjukkan dirinya mengayuh dalam keadaan gelap di laluan sempit yang hanya diterangi cahaya lampu basikal.
Laluan berkenaan dipercayai melalui kawasan ladang kelapa sawit, menjadikan perjalanan Bottas bukan sahaja jauh tetapi turut berdepan cabaran tersendiri.
Berdasarkan rekod kayuhannya, perjalanan dari Malaysia ke Singapura itu melibatkan jarak keseluruhan lebih 350 kilometer.
Jika mengikut perancangan, Bottas difahamkan bakal meneruskan kayuhan menuju checkpoint Johor-Singapura pada esok hari.
Semangat berbasikal Bottas sememangnya bukan sesuatu yang baharu apabila pemandu itu sering berkongsi aktiviti berkenaan menerusi akaun Strava dan media sosialnya.
Kali ini, hobi tersebut membawa Bottas menempuh perjalanan jauh merentasi beberapa negeri sebelum tiba di Muar, sekali gus mencuri perhatian peminat F1 dan komuniti berbasikal.

