KUALA LUMPUR, MALAYSIA, 26 November 2026 – Daripada pembahagian kos pembelian bernilai tinggi kepada bayaran yang lebih kecil sehingga menampung bil yang tidak dijangka, pengguna di Malaysia kini memilih perkhidmatan beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) untuk menikmati kemudahan dan fleksibiliti dalam menguruskan perbelanjaan. Menurut tinjauan tahunan kedua Fikir Sekarang, Bayar Kemudian oleh SPayLater dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), lebih 70% pengguna BNPL yang mengambil bahagian dalam kaji selidik menyatakan bahawa BNPL adalah satu-satunya pilihan kredit mereka, iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus pengguna berbanding tahun 2025.
“Kami melihat peralihan yang positif dan meluas menerusi penggunaan kredit oleh rakyat Malaysia, dengan BNPL kini semakin merapatkan jurang akses kredit yang sebelum ini tidak dapat dipenuhi oleh kredit tradisional. Seiring dengan peningkatan penggunaannya, fokus kami adalah untuk memastikan pertumbuhan ini turut disertai dengan literasi kewangan supaya akses kepada kredit terus selari dengan pemahaman cara penggunaan secara bijak.”
“Lebih memberangsangkan, kami tidak melihat sebarang kes kebankrapan yang menyatakan BNPL sebagai punca utama. Namun, kami percaya akses kepada kredit perlu diperkukuh melalui amalan pengurusan kewangan yang baik serta pembangunan landskap kredit yang berdaya tahan untuk rakyat Malaysia,” kata Nirmala M. Supramaniam, Ketua Pendidikan Kewangan Isi Rumah, AKPK.

Fleksibiliti Pembayaran dan Keyakinan yang Lebih Tinggi terhadap Kredit
Akses kepada perkhidmatan kredit menawarkan lebih banyak fleksibiliti dalam menampung perbelanjaan harian. Tinjauan mendapati bahawa 74% pengguna BNPL menganggap penggunaan kredit sebagai keperluan harian, sekali gus mencerminkan kebimbangan mengenai pendapatan yang tidak berubah dan ketidaktentuan ekonomi yang boleh menjejaskan kemampuan mereka untuk menampung perbelanjaan apabila diperlukan.
Bayaran ansuran juga dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap bajet isi rumah dalam jangka pendek dengan membahagikan kos kepada bayaran yang lebih kecil dan mudah diurus. Lebih 40% responden menggunakan ansuran SPayLater untuk tujuan pengurusan bajet dengan memanfaatkan kemudahan ini bagi mengatur aliran tunai untuk pembelian lebih besar. Ada juga yang menggunakannya untuk menampung kos keperluan mendesak seperti pembaikan kenderaan dan penggantian peralatan rumah.
Bagi ramai pengguna, pelan pembayaran balik BNPL yang tersusun kini menjadi kaedah yang membantu mereka menguruskan perbelanjaan dengan lebih teratur, yang sebelum ini sukar dijangka. Pendekatan pembayaran balik BNPL yang tersusun dan tidak melibatkan pengkompaunan faedah turut menunjukkan cara pengguna menguruskan pembayaran balik bulanan mereka.
Menurut Suruhanjaya Kredit Pengguna, kadar tunggakan BNPL di Malaysia adalah sebanyak 3.3% pada separuh tahun pertama 2026, berbanding kadar tunggakan keseluruhan kad kredit sebanyak 3.9% setakat Jun 2026, seperti yang dilaporkan dalam Sorotan dan Statistik Bulanan Bank Negara Malaysia (Jadual 1.30).
Tinjauan itu turut mendapati bahawa 94% pengguna berasa lega kerana BNPL menawarkan kemudahan kredit yang fleksibel dengan pembayaran balik yang teratur bagi membantu mereka mengawal perbelanjaan.
“SPayLater sering menjadi pilihan utama bagi ramai pengguna kami untuk menggunakan kemudahan kredit. Kami percaya bahawa aspek jelas dan struktur yang teratur amat penting terutamanya melalui paparan terma pembayaran balik yang jelas serta pecahan bayaran bulanan yang terperinci sejak awal.
Dengan menyediakan terma pembayaran yang telus, kaedah kewangan seumpama ini boleh memainkan dua peranan iaitu membantu pengguna memahami cara pengurusan bajet dan konsep kewangan yang lain, di samping memacu ke arah pengurusan produk kredit yang lebih kompleks dalam perjalanan kewangan mereka,” kata Alain Yee, Ketua ShopeePay Malaysia.

Kesedaran terhadap Peraturan, Keselamatan dan Literasi Kewangan
Seiring dengan peningkatan penggunaan dan akses kepada BNPL, perundangan kredit di Malaysia juga akan terus berkembang. Semakin ramai rakyat Malaysia menunjukkan pemahaman yang lebih baik tentang konsep kewangan yang mempengaruhi keputusan penggunaan kredit mereka ketika menggunakan perkhidmatan BNPL. Apabila ditanya tentang pemarkahan kredit, 7 daripada 10 pengguna menyatakan bahawa mereka memahami konsep tersebut serta kesannya. Lebih memberangsangkan, 98% menyatakan bahawa mereka menggunakan BNPL secara bertanggungjawab, sekali gus menunjukkan keyakinan terhadap amalan penggunaan kredit mereka sendiri.
Responden turut melihat manfaat apabila pembayaran balik BNPL disimpan dalam rekod kredit mereka, dengan 70% percaya penggunaan BNPL akan memberi kesan positif kepada penilaian kredit mereka. Bagi pengguna yang mempunyai akses terhad kepada kemudahan kredit tradisional, kaedah ini dapat membantu mereka membina rekod kewangan yang baik.
Kepercayaan dan keselamatan digital juga merupakan pertimbangan penting bagi pengguna kemudahan kredit digital. Sebanyak 88% responden berasa selamat menggunakan SPayLater, kerana penekanan platform berkenaan terhadap perlindungan pengguna dan langkah pencegahan penipuan.
Setakat tahun ini, lebih 3,300 pengguna SPayLater telah menerima bantuan kewangan dan sokongan pembayaran balik ketika menghadapi kesulitan kewangan di luar jangkaan. Melangkaui amalan lazim industri, bantuan ini termasuk pengecualian baki tertunggak bagi pengguna yang meninggal dunia supaya waris mereka tidak terbeban dengan tanggungan kewangan tersebut.
Mengenai tinjauan

Tinjauan Fikir Sekarang, Bayar Kemudian dilaksanakan dengan kerjasama SPayLater dan AKPK antara Jun hingga Julai 2026 melibatkan 18,100 pengguna SPayLater dari seluruh 14 negeri di Malaysia. Responden terdiri daripada tiga kumpulan iaitu 18–30 tahun (20.2%), 31–40 tahun (43.7%) dan 41 tahun ke atas (36.0%). Dari segi pendapatan, 18.0% responden berpendapatan RM2,000 dan ke bawah, 79.3% berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, manakala 12.7% berpendapatan melebihi RM6,000.
Tinjauan Fikir Sekarang, Bayar Kemudian oleh SPayLater bertujuan menggalakkan penggunaan BNPL secara berhemat dengan memupuk tabiat kewangan yang lebih baik serta penggunaan SPayLater secara berkesan. Melalui pendidikan tentang amalan kewangan yang baik serta perkongsian tentang sebab dan cara rakyat Malaysia memilih perkhidmatan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL), SPayLater ingin menggalakkan pengguna untuk Fikir Sekarang sebelum Bayar Kemudian.
