Organisasi Islam dari Indonesia, Muhammadiyah memperkenalkan ChatHPT, sebuah pembantu kecerdasan buatan (AI) yang memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan hukum dan persoalan agama.
Platform ini dibangunkan menggunakan dokumen rasmi Muhammadiyah, termasuk fatwa, keputusan hukum serta penjelasan yang dikeluarkan oleh Majlis Tarjih dan Tajdid.
Sebelum ini, bahan rujukan seperti keputusan hukum, himpunan fatwa dan soal jawab agama diterbitkan dalam bentuk buku serta dokumen digital.
Bagaimanapun, mencari jawapan kepada persoalan tertentu dalam ribuan halaman bahan rujukan tersebut bukanlah mudah dan boleh mengambil masa yang lama.
Muhammadiyah Perkenal Pembantu AI ChatHPT

Keadaan itu mendorong pembangunan ChatHPT bagi memudahkan orang ramai mencari maklumat tanpa perlu menyemak setiap dokumen satu persatu.
Menerusi platform ini, pengguna boleh mengemukakan soalan menggunakan bahasa harian seperti sedang berbual dengan seseorang.
Sistem AI tersebut kemudian akan mencari dokumen berkaitan, menyediakan jawapan dan menyertakan rujukan kepada teks asal untuk disemak pengguna.
Dengan cara ini, pengguna bukan sahaja mendapat jawapan, malah boleh membaca sendiri sumber asal untuk memahami asas kepada penjelasan tersebut.
ChatHPT dijangka memberi manfaat kepada anggota Muhammadiyah, pendakwah, tenaga pengajar dan penyelidik yang memerlukan bahan rujukan berkaitan persoalan agama.
Menurut Ismail Fahmi dalam edisi November 2026 Panduan Lengkap ChatHPT, platform tersebut mula menjalani fasa percubaan pada Ogos 2026.
Setakat 2 November 2026, ChatHPT telah menerima sebanyak 13,840 soalan, dengan topik solat menjadi perkara paling kerap ditanyakan pengguna.
Sebanyak 2,671 soalan berkaitan solat direkodkan, bersamaan kira-kira 19.3 peratus daripada keseluruhan pertanyaan yang diterima platform tersebut.
Di sebalik cara penggunaannya yang menyerupai perbualan biasa, ChatHPT menggunakan pangkalan data yang dihimpunkan daripada pelbagai dokumen rasmi Muhammadiyah.
Pangkalan data tersebut merangkumi 1,153 naskhah berkaitan keputusan hukum, fatwa dan soal jawab agama, selain 2,742 konsep fiqah serta usul fiqah.
Ia turut mengandungi 3,855 entiti yang merangkumi maklumat mengenai tokoh, perawi hadis, buku dan institusi.
Antara koleksi utama yang digunakan ialah 836 naskhah Fatwa Tarjih, 255 dokumen Soal Jawab Agama dan 62 dokumen Himpunan Putusan Tarjih.
Himpunan Putusan Tarjih merupakan koleksi keputusan berkaitan hukum dan panduan agama yang dibincangkan serta diputuskan melalui Majlis Tarjih dan Tajdid.
Kesemua bahan tersebut menjadi asas kepada pangkalan data ChatHPT yang akan terus diperluas dengan penambahan dokumen baharu.
Selain menjawab persoalan agama, ChatHPT turut mempunyai dua fungsi lain iaitu sebagai perpustakaan digital dan teman pembelajaran.
Menerusi fungsi perpustakaan digital, pengguna boleh meneroka koleksi dokumen Tarjih tanpa perlu mengemukakan soalan terlebih dahulu.

