Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bintang WWE, Bronson Reed Meninggal Dunia Pada Usia 38 Tahun

Bronson Reed
Kredit: IG WWE

Bintang WWE, Bronson Reed atau nama sebenarnya Jermaine Haley, meninggal dunia pada usia 38 tahun akibat komplikasi perubatan, lapor CBS Sports.

Haley kali terakhir muncul di kaca televisyen ketika acara WWE Crown Jewel yang berlangsung pada 6 November di Riyadh, Arab Saudi.

Dia dipercayai mengalami beberapa kecederaan susulan acara tersebut, namun perkara itu tidak pernah didedahkan secara rasmi oleh WWE.

Dalam penampilannya di Crown Jewel, Haley bertembung dengan bintang yang sedang meningkat naik, Oba Femi.

Bronson Reed meninggal dunia

Femi pada mulanya merempuh ahli gusti kelahiran Australia itu menggunakan bahunya di laluan masuk sebelum menghempaskannya dari atas pentas sehingga menembusi beberapa buah meja.

Kedua-dua aksi tersebut merupakan antara aksi yang lazim dilakukan oleh bintang WWE dan ahli gusti lain dalam industri berkenaan.

Haley, yang pernah memenangi Kejuaraan NXT North American dan Andre the Giant Memorial Battle Royal sepanjang dua tempoh bersama WWE, menyertai syarikat itu pada 2019 sebelum meninggalkannya buat sementara waktu antara 2021 hingga 2022.

Dilahirkan di Adelaide, Australia Selatan, Haley memulakan kerjaya sebagai ahli gusti profesional pada 2007 sebelum mencipta nama dalam Pro Wrestling NOAH serta beberapa organisasi gusti bebas di seluruh dunia.

Dia juga merupakan antara segelintir ahli gusti yang berjaya mencatat kemenangan dalam perlawanan perseorangan menentang Roman Reigns dan Kazuchika Okada ketika kedua-duanya berada di kemuncak kerjaya masing-masing dalam WWE dan New Japan Pro-Wrestling.

Meskipun Haley beberapa kali mengalami kecederaan yang mengancam kelangsungan kerjayanya dalam WWE, Ketua Pegawai Kreatif syarikat itu, Paul Levesque, sejak sekian lama menyokong bakatnya.

Haley baru-baru ini kembali ke WWE dalam keadaan fizikal terbaik sepanjang kerjaya profesionalnya.

Dia juga dilihat bakal diberikan peluang lebih besar untuk menjadi antara bintang utama WWE menerusi perseteruannya dengan Femi, yang dianggap sebagai bintang masa depan syarikat berkenaan.

WWE dijadualkan mengadakan acara langsung premiumnya yang seterusnya di Australia pada Disember ini.

Sumber:CBS Sports
Intipati
  • Bronson Reed, nama sebenar Jermaine Haley, dilaporkan meninggal dunia pada usia 38 tahun.
  • Haley kali terakhir muncul di televisyen menerusi acara WWE Crown Jewel di Riyadh.
  • Beliau pernah memenangi Kejuaraan NXT North American dan Andre the Giant Memorial Battle Royal.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan