Penularan kes Covid-19 di Indonesia semakin meruncing dengan kes kematian kini meningkat kepada 399 orang. Namun, ada kisah memilukan yang berlaku di sebuah hospital di Lampung yang meruntun hati.
Seorang petugas jenazah di Hospital Abdul Moeloek ditinggalkan oleh isteri dan anak-anaknya kerana takut dijangkiti Covid-19 darinya.
Petugas jenazah itu sememangnya pernah memandikan jenazah pesakit yang positif Covid-19.
Walaupun telah menggunakan peralatan pelindung diri (PPE) mengikut piawaian, keluarga para petugas yang berada di rumah tetap merasa risau dan ketakutan.
Menjadi petugas memandikan jenazah atau pemeriksaan di sebuah hospital merupakan tugas yang berat. Lebih-lebih lagi jika jenazah yang dimandikan adalah positif Covid-19 dan pesakit dalam pengawasan. Pun begitu, tugas demi negara masih dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Menurut salah seorang petugas, dia ditinggalkan oleh isteri dan anak-anaknya selama seminggu. Sejak dia memandikan jenazah pesakit Covid-19, isteri dan kedua anaknya memilih untuk tinggal di rumah mertuanya buat sementara.
“Ya wajar saja, mungkin isteri saya berwaspada. Jadi saya juga tidak melarang mereka pulang ke rumah mertua saya,” katanya.
Sumber: Tribun News
