Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Belanjawan 2027: Kelantan Masih Tunggu Jawapan Tentang LPT3 - Tuan Ibrahim

LPT3
Kredit: Bernama

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan ketiadaan pengumuman mengenai keputusan pelaksanaan atau jadual pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan hari ini.

Menerusi kenyataan di Facebook, Tuan Ibrahim berkata beliau meneliti pembentangan Belanjawan 2027 dengan harapan rakyat Kelantan akhirnya mendapat kepastian mengenai pelaksanaan projek LPT3.

“Namun, tiada keputusan pelaksanaan atau jadual pembinaan yang jelas diumumkan bagi jajaran sepanjang 122 kilometer dari Kampung Gemuroh, Terengganu ke Tunjong, Kota Bharu.

“Bagi pengguna jalan raya Pantai Timur, penantian ini terasa setiap kali perjalanan menjadi panjang dan sesak, khususnya pada musim perayaan dan cuti sekolah. LPT3 juga perlu dinilai melalui manfaat yang lebih luas iaitu kelancaran pengangkutan barangan, hubungan antara pusat ekonomi serta peluang pelaburan di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Menurutnya, pada Julai lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa LPT3 dicadang dilaksanakan melalui kerjasama awam swasta.

Anggaran kos projek itu berdasarkan kajian pada 2022 adalah sebanyak RM9.8 bilion.

“Ketika itu, dokumen permintaan cadangan masih disediakan untuk pertimbangan Jemaah Menteri, manakala kadar tol dan tempoh konsesi belum dimuktamadkan.

“Beliau turut menyifatkan LPT3 sebagai “alternatif ketiga” selepas projek pengangkutan lain siap.

“Saya menghargai usaha menyiapkan Laluan Rel Pantai Timur, Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai dan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama. Namun, projek-projek itu mempunyai laluan dan fungsi masing-masing.

“Kerajaan perlu membentangkan penilaian trafik serta manfaat ekonomi LPT3 secara terbuka sebelum menyimpulkan bahawa keperluannya terhad kepada waktu puncak. Jika pembiayaan swasta dipilih, rakyat juga berhak mengetahui bagaimana kadar tol yang mampu ditanggung pengguna akan diseimbangkan dengan kos pembinaan projek,” katanya lagi.

Namun, Tuan Ibrahim turut menyambut baik perhatian terhadap Loji Rawatan Air Machang, penggantian paip uzur dan cadangan Empangan Lebir.

“Bekalan air yang stabil dan perlindungan daripada banjir ialah keperluan mendesak. Namun, LRA Machang telah disebut dalam Belanjawan 2025 dan 2026, sementara pembiayaannya diluluskan lebih awal dalam bentuk pinjaman dengan moratorium 10 tahun.

“Pengumuman semula projek ini perlu disertai laporan kemajuan, tarikh siap dan penjelasan tentang implikasi pembiayaannya kepada negeri serta pengguna. Bagi Empangan Lebir yang masih pada peringkat perencanaan, kerajaan wajar menyatakan langkah seterusnya dan jangka masa yang munasabah,” ujarnya.

Tuan Ibrahim juga berkata perbandingan dengan LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang turut menimbulkan persoalan tentang keutamaan pembangunan.

“Projek itu mempunyai siling bajet RM16.8 bilion dan kerja fizikalnya telah bermula. LRT dan lebuh raya tidak boleh dibandingkan berdasarkan panjang jajaran atau kos semata-mata. Namun, rakyat Pantai Timur wajar mendapat kejelasan yang sama tentang keputusan, pembiayaan dan garis masa bagi LPT3.

“Saya menggesa Kerajaan Persekutuan menjawab secara terbuka, bilakah dokumen permintaan cadangan LPT3 akan dimuktamadkan, bilakah keputusan pelaksanaannya akan dibuat, dan apakah pilihan kerajaan jika cadangan pembiayaan swasta tidak memenuhi kepentingan pengguna? Bagi projek air pula, bentangkan kemajuan fizikal dan jadual penyiapan yang boleh dipantau rakyat.

“Rakyat Kelantan menunggu projek yang siap, bekalan air yang dapat diharapkan dan rangkaian pengangkutan yang menyokong masa depan Pantai Timur, bukannya pengumuman yang diulang setiap tahun,” tegasnya.

Intipati
  • Tuan Ibrahim mempersoalkan tiada pengumuman jelas mengenai pelaksanaan LPT3 dalam Belanjawan 2027.
  • LPT3 dicadang melalui kerjasama awam swasta, dengan anggaran kos RM9.8 bilion berdasarkan kajian 2022.
  • Beliau turut meminta kemajuan projek air Kelantan dibentangkan, termasuk LRA Machang dan Empangan Lebir.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan