Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, mempunyai sumber pendapatan sendiri menjadi antara perkara yang semakin penting dalam kehidupan. Tidak hairanlah semakin ramai golongan muda mula mengambil peluang menjalankan perniagaan sama ada secara kecil-kecilan dari rumah, melalui platform dalam talian mahupun membuka premis sendiri.
Bagaimanapun, untuk mengembangkan sesebuah perniagaan, modal dan pengetahuan dalam bidang keusahawanan merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi. Bagi membantu golongan belia mengatasi cabaran tersebut, kerajaan meneruskan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera SKALA (TUBE-S) bagi tahun 2027.
Menerusi program kendalian SME Corp. Malaysia ini, peserta berpeluang mengikuti latihan keusahawanan serta dipertimbangkan untuk menerima geran perniagaan sehingga RM15,000.
Permohonan TUBE-S 2027 telah dibuka mulai 16 November hingga 31 Disember 2026. Namun, terdapat beberapa syarat kelayakan yang perlu dipenuhi sebelum permohonan boleh dibuat.
Jadi, bagi yang berminat, berikut merupakan maklumat mengenai jumlah geran, syarat kelayakan dan cara memohon TUBE-S 2027.
Apa itu Program TUBE-S?
Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) merupakan inisiatif kerajaan yang diperkenalkan bagi menggalakkan golongan muda Bumiputera menceburi bidang keusahawanan.
Program ini bermula pada tahun 2014 dengan matlamat membantu belia beralih daripada pencari pekerjaan kepada pemilik perniagaan yang mampu menjana pendapatan sendiri.
Bagi pelaksanaan TUBE-S 2027, fokus diberikan kepada usaha mengembangkan perniagaan atau scale-up. Ini bermakna peserta bukan hanya didedahkan kepada asas memulakan perniagaan malah turut dibimbing untuk meningkatkan jualan, memperluas operasi dan memperkukuh pengurusan perniagaan.
Secara umumnya, program ini mempunyai tiga komponen utama:
Latihan keusahawanan: Bengkel fizikal selama tujuh hari yang merangkumi ilmu pengurusan, pemasaran dan kewangan.
Geran perniagaan: Peserta yang memenuhi syarat dan berjaya menamatkan latihan layak dipertimbangkan untuk menerima geran sehingga RM15,000.
Khidmat nasihat: Bimbingan dan pemantauan perniagaan sepanjang tempoh 12 bulan.
Jumlah Geran Perniagaan TUBE-S 2027
Antara perkara yang menarik mengenai program ini ialah peluang mendapatkan geran perniagaan sehingga RM15,000 bagi membantu mengembangkan perniagaan peserta.
Bagaimanapun, bantuan tersebut tidak diberikan dalam bentuk wang tunai yang dimasukkan terus ke akaun peribadi.
Sebaliknya, pembayaran dibuat melalui sistem tuntutan atau bayaran terus kepada pembekal (vendor) bagi pembelian peralatan dan stok yang telah diluluskan dalam pelan perniagaan peserta.
Selain itu, peserta perlu menyediakan sekurang-kurangnya 10 peratus kos sendiri daripada nilai maksimum geran yang diterima.
Sebagai contoh, sekiranya memohon geran maksimum RM15,000, pemohon perlu menyediakan tambahan RM1,500 sebagai modal sendiri.
Ini menjadikan jumlah perancangan perbelanjaan yang perlu dikemukakan sekurang-kurangnya RM16,500.
Syarat kelayakan permohonan TUBE-S 2027
Bukan semua individu boleh menyertai program ini kerana terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi.
Antara syarat utama permohonan ialah:
Warganegara Malaysia berstatus Bumiputera.
Berumur antara 18 hingga 30 tahun pada 31 Disember 2026.
Mempunyai perniagaan yang telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau mengikut Ordinan Negeri.
Tempoh pendaftaran perniagaan mestilah kurang daripada 36 bulan pada tarikh tutup permohonan.
Tidak bekerja dalam sektor awam atau swasta, termasuk pekerja tetap, kontrak, sambilan dan sementara.
Tidak pernah menyertai Program TUBE sebelum ini.
Tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah atau terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang.
Tidak diisytiharkan muflis dan tidak mempunyai masalah kewangan serius.
Tidak pernah atau sedang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Sihat tubuh badan dan mampu mengikuti latihan secara fizikal.
Bersedia memberikan komitmen sepanjang tempoh pemantauan selama 12 bulan.
Pemohon juga tidak boleh mempunyai hubungan keluarga terdekat dengan pegawai atau kakitangan SME Corp. Malaysia seperti yang ditetapkan dalam syarat program.
Bagi pasangan suami isteri atau adik-beradik yang ingin memohon, hanya seorang daripada mereka boleh dipertimbangkan untuk menyertai program bagi setiap pengambilan.
Bagaimana pula dengan graduan baharu?
Graduan IPTA atau IPTS yang mendaftarkan perniagaan ketika masih belajar atas keperluan pengajian turut diberikan pertimbangan khas.
Sekiranya tempoh pendaftaran perniagaan telah melebihi 36 bulan, mereka masih boleh dipertimbangkan dengan syarat tarikh tamat pengajian rasmi adalah kurang daripada 12 bulan sebelum 31 Disember 2026.
Pemohon perlu mengemukakan surat pengesahan tamat pengajian daripada institusi masing-masing semasa membuat permohonan.
Siapa yang diberikan keutamaan?
Selain memenuhi syarat asas, terdapat beberapa kategori pemohon yang diberikan keutamaan dalam proses pemilihan.
Antaranya termasuk:
Usahawan yang telah menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan dan mempunyai bukti transaksi jualan.
Pemohon yang menyediakan pelan ringkas pertumbuhan perniagaan.
Individu yang bersedia menyediakan sekurang-kurangnya 10 peratus modal sendiri.
Pemohon yang mempunyai Sijil Kemahiran atau Sijil Teknikal (TVET).
Pelajar atau graduan Teknousahawan daripada institusi pengajian tinggi atau pusat latihan kemahiran.
Pemohon yang mempunyai akaun semasa syarikat yang masih aktif.
Oleh itu, pemohon yang sudah mempunyai perniagaan digalakkan menyediakan rekod jualan, bukti transaksi dan perancangan pengembangan perniagaan bagi mengukuhkan permohonan.
Bagaimana Program TUBE-S dilaksanakan?
Program ini mempunyai dua fasa pelaksanaan yang merangkumi latihan keusahawanan serta bimbingan dan pemantauan perniagaan.
Fasa 1: Bengkel keusahawanan selama tujuh hari
Peserta yang terpilih perlu mengikuti bengkel secara fizikal selama tujuh hari di lokasi yang ditetapkan oleh SME Corp. Malaysia.
Antara perkara yang akan dipelajari ialah:
Jualan dan pemasaran.
Pengurusan pentadbiran dan sumber manusia.
Pengurusan operasi serta kewangan.
Pendaftaran dan penjenamaan perniagaan.
Harta intelek serta undang-undang perniagaan.
Pendigitalan perniagaan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Pengenalan kepada elemen Environmental, Social & Governance (ESG).
Peserta juga perlu menyediakan Rancangan Pengembangan Perniagaan (RPP) dan Business Model Canvas (BMC) sebelum membentangkan strategi pengembangan perniagaan kepada panel penilai.
Fasa 2: Bimbingan dan pemantauan selama 12 bulan
Peserta yang berjaya menamatkan Fasa 1 akan meneruskan perniagaan berdasarkan rancangan yang telah dibentangkan.
Sepanjang tempoh 12 bulan, perkembangan perniagaan akan dipantau oleh penyedia perkhidmatan yang dilantik oleh SME Corp. Malaysia.
Peserta perlu mengemukakan laporan perkembangan perniagaan secara bulanan atau suku tahunan mengikut ketetapan program.
Mereka juga perlu memberikan kerjasama sekiranya lawatan ke premis perniagaan diperlukan serta menghadiri latihan, seminar dan aktiviti susulan yang dianjurkan.
Cara mohon Geran TUBE-S 2027
Bagi yang memenuhi semua syarat kelayakan, permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi SME Corp. Malaysia.
Berikut langkah-langkah permohonan:
Layari portal https://mybpi.smecorp.gov.my.
Klik menu Pendaftaran.
Pilih pendaftaran ID Pengguna dan kategori TUBE.
Masukkan nombor kad pengenalan seperti yang diminta.
Lengkapkan semua maklumat peribadi dan perniagaan.
Ikuti arahan seterusnya sehingga proses permohonan selesai.
Semak semula maklumat sebelum menekan butang Sah & Hantar.
Pastikan semua maklumat diisi dengan betul kerana permohonan hanya boleh dibuat sekali sahaja. Sebarang perubahan juga tidak boleh dilakukan selepas penghantaran disahkan.
Pemohon disarankan mencetak makluman penerimaan permohonan untuk simpanan dan rujukan.
Tarikh permohonan
Permohonan TUBE-S 2027 dibuka mulai 16 November hingga 31 Disember 2026 dan waktu permohonan adalah dari jam 8.00 pagi hingga 7.00 petang pada hari bekerja.
Permohonan yang dihantar sebelum atau selepas tempoh ditetapkan tidak akan diterima.
Sekiranya pemohon tidak menerima sebarang makluman dalam tempoh tiga bulan selepas tarikh tutup permohonan, permohonan tersebut dianggap tidak berjaya.
Bagi golongan muda yang mempunyai perniagaan sendiri, Program TUBE-S 2027 boleh menjadi salah satu peluang untuk mendapatkan ilmu, bimbingan dan sokongan bagi mengembangkan perniagaan.
Selain peluang menerima geran sehingga RM15,000, peserta juga berpeluang mempelajari strategi pemasaran, pengurusan kewangan serta penggunaan teknologi dalam operasi perniagaan.
Namun, perlu diingatkan bahawa geran tidak diberikan secara automatik kepada semua pemohon. Peserta perlu melalui proses pemilihan, menamatkan latihan dan memenuhi syarat yang ditetapkan sebelum dipertimbangkan untuk menerima bantuan.
Jadi, kepada belia Bumiputera yang memenuhi kriteria, pastikan permohonan dibuat sebelum 31 Disember 2026.

