“Semalam baru pergi ambil MySara, tadi tengok barang semua habis tenggelam. Habis beras masuk air, dugaan…”
Demikian luahan seorang penduduk Kampung Melayu Subang, Shah Alam yang berdepan detik sukar apabila kediamannya dilanda banjir buruk petang semalam.
Menerusi perkongsian di media sosial, pemilik akaun Threads @Eemmeeyy berkata, air banjir kali ini naik sehingga paras dada di dalam rumahnya.

Lebih menyedihkan, barangan keperluan yang baru dibeli menggunakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (MySara) sehari sebelumnya turut ditenggelami air.
“Kampung Melayu Subang banjir lagi. Kali ini lagi teruk, dalam rumah paras dada. Dugaan, kita reda saja, bukan rezeki,” katanya.
Perkongsian itu mengundang simpati pengguna media sosial yang turut menitipkan doa agar urusan penduduk terjejas dipermudahkan.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna, shebeautiful_1748, berkongsi keadaan banjir yang turut menjejaskan kawasan kediamannya.
“Semoga dipermudahkan urusan. Saya tengok semalam memang teruk kawasan rumah bawah. Kawasan lot tanah seberang sana tidak banjir, air turun ke bahagian bawah. Kawasan rumah saya pun naik air. Duduk rumah tinggi, lobi pun habis tenggelam,” katanya.
Seorang lagi pengguna, nurullllhana, turut menitipkan kata-kata semangat buat penduduk yang terjejas.
“Moga diganti dengan yang lebih baik,” komennya.
Dalam pada itu, pengguna bernama roy88husky memaklumkan kawasan berkenaan sudah beberapa kali berdepan kejadian banjir sepanjang tahun ini.
“Tahun ini sudah tiga kali banjir, risiko rumah tepi sungai macam Sri Muda,” jelasnya.
Sementara itu, poimzdi turut mencadangkan penduduk yang kerap berdepan banjir supaya mempertimbangkan untuk berpindah ke kediaman di kawasan lebih tinggi.
“Sebulan dua kali banjir, baik pindah cari rumah tinggi,” katanya.

