Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Phuket Dilanda Banjir Kilat, Tanah Runtuh

PHUKET
Kredit: NBT

BANGKOK, 26 Okt (Bernama-dpa) -- Hujan lebat mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh di pulau peranginan Thailand, Phuket, dengan pihak berkuasa cuaca meramalkan lebih banyak cuaca buruk menjelang penghujung musim tengkujuh di negara Asia Tenggara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bandar Patong yang menjadi tumpuan pelancong antara kawasan paling teruk terjejas. Banjir membawa batu, lumpur dan sisa runtuhan ke kawasan perumahan serta lokasi beli-belah jalanan, selain merosakkan rumah, kedai dan kenderaan, lapor Bangkok Post pada Isnin memetik pihak berkuasa.

Susulan hujan berterusan semalaman, air dan serpihan runtuhan mengalir menuruni lereng bukit ke kawasan rendah. Daerah Kathu yang merangkumi Patong terjejas teruk dengan lumpur dan batu besar menghalang beberapa laluan jalan raya, cermin tingkap kedai pecah serta kereta ditenggelami air. Di beberapa kawasan, larangan memandu turut dikuatkuasakan.

Pasukan kecemasan dikerahkan bersama jentolak dan peralatan berat lain bagi membersihkan sisa runtuhan serta membuka saluran perparitan, manakala pentadbiran Bandar Patong mendirikan pusat perlindungan kecemasan.

Pihak berkuasa pencegahan bencana turut melaporkan kejadian banjir di wilayah selatan yang lain.

Jabatan kaji cuaca memberi amaran bahawa hujan lebat dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga Rabu, sebelum musim tengkujuh di sebahagian besar Thailand berakhir.

Pada akhir September, hujan berterusan selama beberapa hari menyebabkan banjir buruk di ibu negara Thailand, Bangkok, sekali gus mendorong pentadbiran bandar mengisytiharkan darurat bencana di kesemua 50 daerah. Di seluruh negara, kira-kira 2.6 juta orang terjejas, menurut pihak berkuasa.

-- BERNAMA-dpa

Intipati
  • Hujan lebat mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh di pulau peranginan Phuket.
  • Patong dan daerah Kathu terjejas teruk, dengan rumah, kedai serta kenderaan rosak.
  • Jabatan kaji cuaca memberi amaran hujan lebat dijangka berterusan sekurang-kurangnya hingga Rabu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan