Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

3 Lelaki Ditahan, 376.2kg Sisik Tenggiling Bernilai RM376,200 Dirampas

tenggiling
Kredit: Facebook PERHILITAN

Tiga lelaki tempatan ditahan selepas 376.2 kilogram (kg) sisik tenggiling bernilai RM376,200 dirampas dalam satu serbuan di sebuah premis di Negeri Sembilan, Selasa.

Serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu dijalankan pasukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar, berkata pemeriksaan di premis berkenaan menemukan 15 kotak mengandungi terbitan hidupan liar yang dipercayai berupa sisik tenggiling.

Menurutnya, pihak berkuasa turut menyita sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah alat penimbang dan satu mangga yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.

“Jumlah keseluruhan nilai sitaan dan rampasan termasuk barangan lain dianggarkan RM401,700,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki yang ditahan bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Perhilitan untuk tindakan lanjut.

“Rampasan dalam kuantiti besar ini menunjukkan kepentingan tindakan risikan dan penguatkuasaan berterusan bagi membanteras rangkaian yang terlibat dalam penyimpanan, pengumpulan serta pengedaran bahagian hidupan liar,” ujarnya.

Mohd Zaki berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan, destinasi penghantaran serta kemungkinan penglibatan pihak lain dalam rangkaian berkenaan.

Katanya, tenggiling merupakan antara hidupan liar yang berdepan ancaman pemburuan dan perdagangan haram.

“Permintaan terhadap bahagian tubuh serta terbitannya boleh mendorong eksploitasi hidupan liar secara tidak sah dan menjejaskan kelangsungan spesies ini di habitat semula jadi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zaki berkata WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman melaksanakan sebanyak 288 serbuan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga Rabu.

Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barangan tidak bercukai, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta kegiatan berkaitan sisa elektronik (e-waste).

“Sebanyak 471 individu telah ditahan menerusi operasi berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM350.34 juta,” katanya.

Beliau berkata, bagi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), sebanyak 66 kes direkodkan sepanjang tahun ini, membabitkan 74 tangkapan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM99.69 juta.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti perdagangan hidupan liar yang menyalahi undang-undang.

Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha memelihara khazanah biodiversiti negara.