Seorang pelajar wanita berusia 19 tahun ditemukan meninggal dunia dengan kesan tekanan pada bahagian leher di sebuah bilik sewa di Jalan Air Putih 2, Kuantan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Ashari Abu Samah berkata pihaknya menerima panggilan pada kira-kira jam 4.32 pagi daripada seorang lelaki yang memaklumkan berlaku pergaduhan antara dirinya dengan teman wanitanya.
Sepasukan polis yang digerakkan ke lokasi kejadian kemudian menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Pelajar 19 tahun maut
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan terbaring di atas katil.
“Pemeriksaan oleh pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan mendapati terdapat kesan tekanan pada bahagian leher mangsa.
“Mangsa kemudiannya disahkan telah meninggal dunia,” katanya.
Ashari berkata seorang lelaki berusia 19 tahun ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan mangsa.
“Pemeriksaan Forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah dan Unit k9 IPK Pahang turut hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan serta tindakan lanjut.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan dan perintah reman selama tujuh hari telah diperoleh bermula 6 Oktober hingga 12 Oktober bagi membantu siasatan, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, bedah siasat terhadap mangsa dijadualkan dilakukan di Jabatan Forensik HTAA bagi menentukan punca sebenar kematian.
Menurut Ashari, pihaknya sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk merakam percakapan saksi-saksi berkaitan serta mendapatkan laporan forensik bagi melengkapkan siasatan.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian ini kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
