KUALA LUMPUR, 28 Julai (BERNAMA) — Kementerian Kesihatan (KKM) meneruskan kes pengesanan aktif dan kontak rapat COVID-19 melibatkan kluster Sentosa di Kuching, Sarawak bagi mengelakkan peningkatan kes virus berkenaan di negeri itu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata setakat 18 Julai hingga semalam, KKM mengesan 680 individu yang merupakan kontak dalam kluster berkenaan dan daripada jumlah itu 21 kes positif, 587 kes negatif manakala 72 masih menunggu keputusan ujian saringan COVID-19.
“Daripada 21 kes (positif) itu, 16 kes merupakan dalam kalangan anggota KKM, dua anggota perkhidmatan sokongan daripada syarikat yang mengurus kemudahan di hospital itu, satu pesakit dan dua lagi kontak rapat atau ahli keluarga kepada kes positif,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri, di sini.
Beliau menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang ingin tahu mengenai pelan KKM untuk menangani isu peningkatan kes COVID-19 di Kuching terutamanya dalam kluster Sentosa yang melibatkan kakitangan hospital kerajaan dan barisan hadapan.
Selain itu, Chong juga ingin tahu apakah langkah tambahan diambil KKM untuk melindungi dan menjaga kebajikan setiap pekerja kesihatan, pesakit dan orang awam di persekitaran hospital itu dan apakah langkah tambahan untuk membendung penularan wabak COVID-19 di Kuching serta membantu semua peniaga yang terjejas akibat pandemik itu.
Sumber: BERNAMA