Sekurang-kurangnya 13 orang maut selepas sebuah lombong emas haram di Bogor, Jawa Barat, Indonesia, dinaiki air susulan hujan lebat pada Isnin malam.
Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya 13 lagi pelombong dipercayai masih terperangkap di bawah tanah, manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan.
Ketika kejadian, sekurang-kurangnya 26 pelombong sedang menggali emas di lombong terbuka sedalam kira-kira 100 meter sebelum hujan lebat menyebabkan sungai berhampiran melimpah dan membanjiri dua lubang lombong.
Setakat Khamis, pihak berkuasa mengesahkan 13 mayat ditemukan di lokasi kejadian.
13 Maut Dalam Insiden Perlombongan Emas Tanpa Lesen

Operasi menyelamat bagaimanapun berdepan kesukaran kerana laluan masuk ke lombong sempit, gelap dan licin, selain air yang masih mengalir masuk dari bahagian bawah.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Jakarta, Desiana Kartika Bahari, berkata keadaan itu perlu dinilai dengan teliti bagi memastikan keselamatan anggota penyelamat.
“Kedalaman lubang lombong, laluan masuk yang sempit dan pencahayaan terhad menjadi faktor penting dalam menentukan strategi pencarian supaya anggota penyelamat dapat menjalankan tugas dengan selamat,” katanya pada Rabu.
Kejadian itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai kegiatan perlombongan emas haram yang masih berleluasa di Indonesia walaupun aktiviti tersebut dilarang.
Kegiatan itu semakin berkembang sejak sedekad lalu, antaranya didorong kenaikan harga emas yang mencetuskan persaingan untuk mendapatkan logam berharga berkenaan.
Pada awal 2026, harga emas mencapai paras tertinggi sepanjang sejarah sehingga mendorong pengusaha memperluas operasi perlombongan.
Bagaimanapun, kegiatan itu turut dikaitkan dengan masalah penguatkuasaan dan dakwaan wujudnya pihak berpengaruh yang melindungi operasi haram.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia, Laode M Syarif, mendakwa kegiatan tersebut sukar dibanteras kerana sesetengah lombong mendapat perlindungan anggota polis, tentera atau pegawai kanan kerajaan.
“Selagi pihak yang melindungi kegiatan ini tidak dikenakan tindakan tegas, perlombongan haram akan terus berlaku,” katanya.
Malah, kawasan lombong yang dinaiki air itu terletak dalam kawasan permit perlombongan milik syarikat negara, Aneka Tambang (Antam).
Bagaimanapun, Antam menafikan mempunyai kaitan dengan operasi berkenaan dan menjelaskan lombong itu beroperasi tanpa kebenaran mereka.
Dalam tempoh Oktober hingga November sahaja, Polis Wilayah Jawa Barat turut membongkar 24 kes perlombongan haram di wilayah tersebut.
Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Undang-Undang Tenaga dan Perlombongan, Bisman Bakhtiar, pula berkata jumlah sebenar lombong haram dipercayai jauh lebih tinggi daripada angka yang direkodkan kerajaan.
“Angka yang diberikan kerajaan hanyalah kes yang sudah direkodkan. Ini bermakna jumlah sebenar pasti lebih banyak,” katanya kepada BBC.
Selain masalah penguatkuasaan, operasi tanpa kawalan keselamatan turut mengundang risiko kepada pekerja.
Awal tahun ini, 11 pelombong emas haram dilaporkan maut akibat kebocoran gas karbon monoksida di sebuah lombong dalam kawasan sama.
Pada Mei lalu, sembilan orang pula maut selepas hujan lebat menyebabkan tebing setinggi 30 meter runtuh di sebuah lombong emas haram di Sumatera Barat.
Susulan kejadian terbaharu itu, Ombudsman Indonesia, badan pemantau perkhidmatan awam, menggesa siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti semua pihak yang terlibat.
Anggota Ombudsman Indonesia, Abdul Ghoffar, berkata tindakan undang-undang tidak sepatutnya hanya dikenakan terhadap pelombong di lapangan, sebaliknya turut menyasarkan pihak yang membiayai, mengurus dan memasarkan hasil perlombongan haram.
“Kita perlu membongkar keseluruhan rangkaian kegiatan perlombongan haram ini,” katanya.
Beliau menegaskan pihak yang mengawal operasi dan mendapat keuntungan daripada kegiatan tersebut juga perlu bertanggungjawab.

