Lapan orang maut manakala sekurang-kurangnya 19 yang lain cedera, termasuk kanak-kanak selepas sebuah bangunan tiga tingkat runtuh berhampiran tapak pembinaan di New York, lapor AFP.
Imej dari lokasi kejadian menunjukkan anggota bomba sedang menyelongkar timbunan runtuhan di hadapan sebuah bangunan yang dipercayai kediaman.
Dinding bangunan itu musnah, sehingga memperlihatkan sebuah bilik tidur dan almari pakaian.
Bangunan berkenaan runtuh ke dalam kawasan penggalian tanah di sebelahnya, menyebabkan beberapa orang terperangkap.
Anggota bomba mengambil masa beberapa jam untuk menyelamatkan mangsa dengan menggunakan dron, anjing pengesan dan gergaji rantai.
“Kami tidak mengetahui berapa ramai lagi orang yang masih berada di kawasan runtuhan ini, dan operasi menyelamat ini dijangka mengambil masa yang panjang,” kata Pesuruhjaya Jabatan Bomba New York (New York City Fire Department, FDNY), Lilian Bonsignore, kepada pemberita di lokasi kejadian di Flatbush, Brooklyn, lewat Rabu.
Lebih 250 anggota bomba dan petugas paramedik dikerahkan ke lokasi kejadian, menurut FDNY menerusi hantaran di platform X.
Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan.
Saksi dakwa bangunan bergegar sebelum runtuh
Sementara itu, Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, memuji usaha pasukan penyelamat dan petugas kecemasan yang terlibat dalam operasi berkenaan.
Beliau berkata bahawa lokasi kejadian mempunyai struktur runtuhan yang tidak stabil untuk dilalui serta ruang kosong berbahaya di bawah permukaan.
“Saya ingin meminta warga New York agar meluangkan sedikit masa untuk mendoakan mereka yang terkorban hari ini serta semua pihak yang sedang bersedih atas kehilangan insan tersayang,” ujarnya pada sidang media.
Seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Anthony memberitahu PIX11 News bahawa beliau terdengar jeritan orang ramai serta bunyi kuat seperti letupan bom ketika bangunan itu runtuh.
Seorang lagi saksi, Melissa Orna, memberitahu akhbar The New York Times bahawa seluruh bangunan itu mula bergegar sebelum akhirnya runtuh.

Jabatan Bangunan New York memaklumkan bahawa para pemeriksanya berada di lokasi kejadian bagi membantu operasi pemulihan serta menjalankan pemeriksaan kestabilan struktur bangunan berhampiran.
Pesuruhjaya jabatan itu, Ahmed Tigani, berkata bahawa pekerja pembinaan sedang menjalankan kerja-kerja penggalian tanah ketika kejadian berlaku.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihak pemaju telah mendapat kelulusan bagi membina sebuah bangunan tiga tingkat di tapak berkenaan dan sedang mendapatkan kebenaran untuk membina bangunan setinggi sembilan tingkat.

