Siakap Keli
jose mujica
Kredit: AFP

Bekas Presiden Uruguay, Jose Mujica Meninggal Dunia

Bekas Presiden Uruguay, Jose Mujica Meninggal Dunia

Bekas Presiden Uruguay, Jose Mujica telah meninggal dunia pada usia 89 tahun, lapor BBC.

Mentadbir Uruguay dari 2010 hingga 2015, Mujica dikenali sebagai ‘presiden termiskin di dunia’ kerana gaya hidupnya yang sederhana.

Berita kematian Mujica telah diumumkan oleh Presiden terkini, Yamandu Orsi dalam laman media sosial X.

“Terima kasih atas segala yang anda berikan kepada kami dan untuk kasih sayang yang mendalam kepada rakyat,” tulisnya.

Punca kematian ahli politik itu tidak didedahkan namun beliau sebelum ini dilaporkan telah menghidap kanser esofagus.

Mujica menjadi tokoh politik yang terkenal di Amerika Latin dan dunia kerana cara hidupnya sebagai presiden yang sangat sederhana dan mempromosikan pembaharuan sosial.

Memetik BBC, populariti Mujica di peringkat global adalah sangat luar biasa bagi seorang presiden Uruguay, sebuah negara yang hanya mempunyai 3.4 juta penduduk.

Malah, walaupun ramai yang cenderung melihat Mujica sebagai seseorang di luar kelas politik, hakikatnya bukan begitu.

Beliau pernah berkata minatnya terhadap politik, buku dan pertanian diwarisi daripada ibunya yang membesarkannya dalam sebuah keluarga kelas pertengahan di Montevideo.

Ketika muda, Mujica adalah ahli Parti Kebangsaan iaitu salah satu parti tradisional Uruguay, yang kemudiannya menjadi pembangkang.

Sebelum menjadi presiden, Mujica membantu menubuhkan Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Tupamaros (MLN-T) pada 1960-an. Ia merupakan sebuah kumpulan gerila bandar yang berhaluan kiri.

Dipengaruhi oleh revolusi Cuba dan sosialisme antarabangsa, MLN-T melancarkan kempen penentangan rahsia terhadap kerajaan Uruguay, yang pada ketika itu, berperlembagaan dan demokratik.

Dalam tempoh tersebut, Mujica telah ditangkap sebanyak empat kali. Beliau juga pernah ditembak enam kali dan hampir meninggal dunia pada tahun 1970.

Apabila tentera Uruguay melakukan rampasan kuasa pada tahun 1973, mereka memasukannya ke dalam kumpulan ‘sembilan tebusan’ yang diugut bunuh jika meneruskan serangan.

Selepas berbelas tahun di penjara, beliau telah dibebaskan dan berkhidmat sebagai penggubal undang-undang di Dewan Perwakilan dan Dewan Negara.

Beliau menjadi menteri dalam kerajaan pada tahun 2005 dan seterusnya menjadi presiden Uruguay pada 2010 di usia 74 tahun.

Sumber: BBC

BACA JUGA: Seniwati Legenda Sophia Ibrahim Meninggal Dunia

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.