Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Wing Hin Motorsports Peroleh Kemenangan Dalam TSS & Thailand Super Series

Syamimi
WING

Wing Hin Motorsports Peroleh Kemenangan Dalam TSS & Thailand Super Series

Wing Hin Motorsports memulakan musim baharu dengan penuh bergaya apabila berjaya meraih keseluruhan enam kedudukan podium termasuk dua kemenangan perlumbaan dalam saingan TSS The Super Series dan Thailand Super Series di Litar Antarabangsa Chang, Buriram hujung minggu lalu.

Dua kedudukan podium, termasuk kemenangan dalam Kelas Pro-Am serta tempat kedua keseluruhan menjadi pembuka tirai kempen mempertahankan gelaran GT4 pasukan itu bagi musim 2026 sebelum mereka menambah empat lagi podium dalam kategori Super Touring. Pasukan tersebut hadir ke Pusingan 1 kedua-dua kejohanan dengan lima jentera dan 10 pemandu.

Dalam kategori GT4, aksi di Litar Antarabangsa Chang sepanjang 4.554km bagi dua perlumbaan pembukaan musim ini jelas membayangkan persaingan sengit bakal mewarnai kempen musim ini ketika Wing Hin Motorsports memburu kejayaan mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu.

Hujung minggu perlumbaan bermula dengan cukup positif buat gandingan Mitchell Cheah dan Ryan Wong dalam Kelas Pro-Am menerusi jentera #39 Toyota GR Supra GT4 EVO2. Cheah dan Wong menamatkan Perlumbaan 1 pada Sabtu di tempat kedua keseluruhan dan juara Pro-Am sebelum mengakhiri Perlumbaan 2 pada Ahad di kedudukan kelima keseluruhan.

Wong diberi tanggungjawab memulakan Perlumbaan 1 dan memandu dengan strategi berhati-hati sebelum menyerahkan tugas kepada Cheah yang berjaya mempamerkan pemanduan cemerlang untuk memintas dari kedudukan ketujuh hingga menamatkan perlumbaan sejam itu di tempat kedua keseluruhan.

“Keputusan yang baik untuk memulakan musim ini. Pasukan telah bekerja keras sejak musim lalu dan membuat persiapan rapi untuk tahun ini. Kami kini tidak sabar untuk perlumbaan seterusnya,” kata Cheah.

Bermula dari petak utama bagi Perlumbaan 2, momentum Cheah sedikit terganggu apabila kereta keselamatan dikeluarkan hanya selepas tiga minit perlumbaan bermula sekali gus menjejaskan kelebihan tipis 0.8 saat yang telah dibinanya.

Perlumbaan menjadi semakin sengit selepas perlumbaan disambung semula apabila perebutan lima penjuru untuk kedudukan pendahulu menyebabkan beliau tercicir ke tempat keempat. Cheah kekal di posisi tersebut sehingga pertukaran wajib pemandu sebelum Wong mengambil alih tugasan dan kembali ke litar di tempat kelima, kedudukan yang berjaya dikekalkan hingga ke garisan penamat.

Dalam kategori Super Touring Thailand Super Series pula, Wing Hin Motorsports membuka musim dengan cukup cemerlang apabila meraih empat kedudukan podium daripada dua perlumbaan.

Perlumbaan 1 pada Sabtu menyaksikan gandingan Amer Harris dan Nabil Azlan dalam #36 Toyota Vios menamatkan saingan di tempat kedua manakala #38 Toyota Yaris dipandu Dannies Ng dan Jwan Hii berjaya meraih tempat ketiga selepas aksi sengit. Sebuah lagi Toyota Vios bernombor #9 dipandu Nick Teo dan Ian Wong menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

“Kami sangat gembira dengan keputusan ini! Terima kasih kepada pasukan kerana menyediakan jentera yang sangat kompetitif. Ini musim rookie pertama kami dalam siri ini dan saingannya memang sengit tetapi pasukan telah melakukan tugas yang luar biasa untuk memastikan kami mampu bersaing,” kata Hii.

Dalam Perlumbaan 2 pada Ahad, Amer yang bermula dari petak utama berjaya mempertahankan kedudukan pendahulu walaupun diasak rapat sepanjang perlumbaan sejam itu dengan jurang tidak pernah melebihi 1.5 saat. Selepas 30 minit, beliau masuk ke pit untuk menyerahkan jentera kepada Nabil yang kembali ke litar sambil mengekalkan kelebihan tipis tersebut.

Dengan baki 10 minit perlumbaan, Nabil jatuh ke tempat kedua dengan ketinggalan 1.8 saat namun terus memberi tekanan sebelum berjaya memintas pelumba Thailand, P. Pasarit yang memandu Honda CRZ pada pusingan kedua terakhir. Ketika cuba merampas semula kedudukan pendahulu, tayar hadapan kanan Pasarit tersentuh sedikit pada tayar belakang kiri Nabil menyebabkan tayar jentera Pasarit pancit.

Situasi itu membuka ruang buat #38 Toyota Yaris dipandu Ng dan Hii naik ke tempat kedua, sekali gus melengkapkan kedudukan 1-2-3 buat Toyota bersama pasangan Thailand, Ayrton A. dan A. Norrarat di tempat ketiga. Bagaimanapun, siasatan selepas perlumbaan kemudian menaikkan Hii ke tempat pertama manakala penalti lima saat dikenakan terhadap Nabil menyebabkan beliau turun ke tempat ketiga.

Pasangan #39 Toyota Yaris dari Thailand iaitu Varunchit Wattanathanakun (Monai) bersama pemandu wanita Mekkaradkeeta Kalantananda (Ni-Ne) menamatkan perlumbaan di tempat kelapan manakala Teo dan Wong melengkapkan hujung minggu perlumbaan dengan kedudukan kesembilan yang cukup membanggakan.

“Keputusan 1-2 ini memang sangat baik buat kami. Ini juga kali pertama saya berlumba dalam kategori Super Touring. Tahun lalu pasukan turut berpeluang memburu kejuaraan keseluruhan tetapi tidak semuanya menjadi seperti dirancang. Masih terlalu awal untuk membuat ramalan kerana baru satu pusingan berlangsung tetapi ini sememangnya permulaan yang cukup positif,” kata Amer.

“Perlumbaan hari ini memang sangat mendebarkan! Pasukan menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan dalam meningkatkan daya saing jentera dan kami percaya peluang kami untuk baki pusingan musim ini cukup cerah.”

Pusingan 2 TSS The Super Series dan Thailand Super Series akan diteruskan di festival perlumbaan jalanan antarabangsa Bangsaen Grand Prix di Chonburi dari 1 hingga 5 Julai ini.