KUALA KANGSAR, 24 Sept (Bernama) -- Wanita Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipercayai menjadi mangsa bunuh di Kampung Cheh Hilir, di sini, semalam disifatkan sebagai seorang yang peramah, mesra dan sering bergaul dengan penduduk setempat walaupun mempunyai kekurangan diri.
Jiran mangsa Badariah Jaafar, 72, berkata Nor Ainon Omar, 49, merupakan OKU lembam, dikenali ramai kerana sikapnya yang ramah dan sering menyapa sesiapa sahaja yang lalu di hadapan rumahnya.
“Arwah ini orangnya sangat baik dan tidak pernah buat hal dengan sesiapa. Walaupun dia OKU, dia rajin bercampur dengan jiran-jiran dan selalu senyum apabila nampak orang kampung lalu lalang di hadapan rumahnya.
“Cuma, kadang-kadang kami ada juga terdengar dia memarahi anak keduanya (suspek) kerana sering mengasari kakak dan adiknya. Kami boleh mendengar pertengkaran itu memandangkan rumah kami terletak berhadapan sahaja,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Cheh Hilir, di sini, hari ini.

Badariah berkata pada mulanya, mereka tidak menyedari kejadian tragis itu berlaku sehinggalah adiknya, Salmah Jaafar, 67, yang tinggal serumah terdengar bunyi bising dari arah rumah mangsa.
“Masa itu kami langsung tak tahu apa-apa yang berlaku di dalam rumah arwah. Sehinggalah adik saya, Salmah perasan ramai orang kampung dan pihak polis mula berkumpul di hadapan rumah mangsa.
“Apabila adik saya pergi tengok dan bertanyakan keadaan, barulah kami dimaklumkan bahawa arwah Enon (panggilan mesra) telah meninggal dunia akibat ditikam,” katanya yang tidak menyangka kejadian seumpama ini boleh berlaku kerana keluarga mangsa tidak pernah menimbulkan sebarang masalah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Cheh Hilir Noor Halim Abd Hamid, 58, berkata beliau menyedari tentang kejadian itu selepas dimaklumkan oleh suami mangsa kira-kira pukul 2 petang.
Noor Halim berkata sejurus tiba di tempat kejadian, beliau mendapati mangsa sudah tidak bernyawa dengan kesan darah yang banyak mengalir dari tingkat atas rumah papan berkenaan.
Beliau kemudiannya segera menghubungi Balai Polis Kati, Kuala Kangsar bagi memaklumkan kejadian berkenaan sebelum beberapa anggota polis tiba di lokasi untuk memulakan siasatan.
“Memandangkan anak kedua mangsa tiada di rumah, saya mengarahkan beberapa penduduk kampung mencari remaja itu sebelum dia berjaya ditemukan bersembunyi di kawasan kebun sawit di dalam kampung ini,” katanya.
Noor Halim berkata ketiga-tiga anak mangsa merupakan pemegang kad OKU dengan kategori berbeza.

“Anak sulung (18 tahun) mengalami masalah fizikal, anak kedua (15 tahun) hiperaktif dan agresif, manakala anak bongsu (12 tahun) pula bisu. Ketiga-tiga mereka termasuk mangsa merupakan penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 2.38 petang dan punca utama dipercayai akibat perselisihan faham.
Polis telah menahan dua lelaki, iaitu ahli keluarga mangsa yang dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit, setakat ini.
Jenazah Nor Ainon dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cheh Hulu pada petang ini.

