Penduduk di Oleshky, wilayah Kherson yang kini diduduki Rusia, dilaporkan berdepan kekurangan kritikal bekalan makanan, air, elektrik dan perkhidmatan perubatan, sehingga ada yang terpaksa mencari lalang dan tumbuhan liar untuk dimakan bagi meneruskan kehidupan.
Terpaksa makan lalang
Menurut laporan BBC News, penduduk turut terpaksa mencari makanan di penempatan berdekatan, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko serangan dron dan periuk api.
Seorang penduduk yang identitinya dirahsiakan atas faktor keselamatan berkata, sepasang suami isteri yang dikenalinya maut pada 20 September ketika dalam perjalanan pulang dari Radensk, kira-kira 23 kilometer dari Oleshky.
Katanya, pasangan itu membawa beg berisi barangan makanan namun tidak sempat tiba di rumah sebelum perintah berkurung yang dikenakan pihak berkuasa pendudukan berkuat kuasa.
BBC memaklumkan empat sumber berasingan mengesahkan kematian dua orang awam yang sedang membawa bekalan makanan berkenaan.
Kekurangan makanan dan rawatan perubatan
Menurut penduduk, penghantaran bekalan makanan terakhir ke Oleshky berlaku pada Mei lalu.
Kedai-kedai di bandar itu kini tidak lagi beroperasi, manakala penduduk juga berdepan kesukaran mendapatkan pakaian dan barangan kebersihan.
Dalam kumpulan sembang tempatan, penduduk dilaporkan berkongsi maklumat mengenai tumbuhan liar yang boleh dimakan serta cara menyediakannya. Mereka turut berusaha menjual, menukar atau berkongsi bekalan makanan yang ada.
Bekalan gas dan elektrik di bandar itu dilaporkan terputus sejak 2023, manakala penduduk turut berdepan masalah bekalan air.
Menurut mereka, hanya sebuah hospital masih beroperasi secara separa dan menjalankan prosedur amputasi yang dianggap kritikal beberapa hari dalam seminggu.
Sebelum pencerobohan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine, kira-kira 24,000 penduduk tinggal di Oleshky. Pihak berkuasa Ukraine menganggarkan sekitar 6,000 orang masih berada di bandar dan kawasan sekitarnya, termasuk kira-kira 200 kanak-kanak.
Hampir 1,200 nama dalam senarai kematian
Misi Pemantauan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Ukraine turut mendokumentasikan laporan mengenai sekurang-kurangnya 29 orang awam terbunuh dan 54 lagi cedera di Oleshky serta kawasan berdekatan Hola Prystan pada tahun ini.
Sukarelawan Kseniia Arkhipova, yang meninggalkan Oleshky pada musim panas 2022, terlibat dalam usaha menghantar makanan dan ubat-ubatan serta membantu mengatur pemindahan penduduk.
Beliau berkata, dirinya menyimpan senarai penduduk yang maut dan setakat ini memasukkan kira-kira 1,200 nama dalam senarai berkenaan.
Bagaimanapun, BBC tidak dapat mengesahkan data tersebut secara bebas.
Penduduk tempatan turut memberitahu wartawan bahawa pihak berkuasa pendudukan Rusia mengehadkan urusan pengebumian individu yang maut akibat serangan dron, periuk api atau keadaan lain.
Menurut mereka, pengebumian memerlukan pengesahan daripada doktor Rusia selepas bedah siasat, namun pengesahan itu tidak dapat diperoleh di bandar berkenaan.
Minggu ini, Kremlin mengakui keadaan kritikal di Oleshky serta masalah bekalan makanan dan ubat-ubatan, namun meletakkan tanggungjawab terhadap situasi itu kepada Kyiv.


