Setelah kira-kira tiga dekad terpisah dengan anak disayangi, seorang wanita akhirnya dapat menemui anak tersayang yang diculik kira-kira 31 tahun lalu.
Lapor Daily Mail, Zhou Jiaying dan anaknya, Tao Xiaobing yang ketika itu berusia tiga tahun telah diculik dan dijual sindiket pemerdagangan manusia kepada sebuah keluarga di wilayah Shandong untuk dijadikan hamba.
Beberapa bulan kemudian, Zhou telah berjaya melarikan diri ketika penculiknya leka dan akhirnya dapat pulang ke rumah. Bagaimanapun, wanita itu tidak dapat membawa anaknya bersama.
Ibu mana yang akan biarkan anaknya terus bergelumang dalam kesusahan. Zhou kemudiannya datang kembali ke rumah tersebut untuk menuntut keadilan.
Pun begitu, tiada sesiapa berada di rumah berkenaan, malah para penduduk tempatan ‘menghalau’ wanita itu dari situ, tulis Daily Mail.
Lebih mendukacitakan, pegawai tempatan dikatakan kurang bersungguh-sungguh untuk menyiasat keberadaan Tao pada ketika itu, lapor Daily Mail.
Bulan berganti tahun, wanita itu tidak juga bertemu anaknya selepas melawati lokasi berkenaan berkali-kali.
Sementara itu, Tao telah dibebaskan daripada dunia perhambaan dan kemudiannya diambil sebagai anak angkat di wilayah sama. Namun, keluarga angkatnya dikatakan tidak berminat untuk membantu Tao mencari ibu kandungnya kerana khuatir dia akan meninggalkan mereka.
Biarpun selepas bertahun berlalu, Tao sentiasa mengingati dan cuba mencari ibunya sehinggalah dia menjejakkan kaki ke universiti dan mempunyai keluarga sendiri.
Atas bantuan sukarelawan dari Guizhou, Shandong dan Xi’an, lelaki itu akhirnya dapat menjejak lokasi si ibu di wilayah Guizhou sebelum anak beranak itu menjalani ujian DNA untuk mengesahkan pertalian mereka.
