Paragliding merupakan salah satu aktiviti lasak yang menjadi pilihan ramai yang biasanya ‘diterbangkan’ di kawasan pantai atau resort pelancongan.
Aktiviti itu pastinya mempunyai risiko yang tersendiri tetapi ia sememangnya akan selamat jika dikendalikan dengan betul.
Walau bagaimanapun, nampaknya ia menjadi ‘mimpi ngeri’ buat lelaki ini yang dilaporkan telah digigit oleh seekor ikan jerung semasa sedang melakukan aktiviti tersebut. Insiden yang mengejutkan itu sempat dirakam dan kini menjadi tular di media sosial.
Menurut Daily Mail, seekor ikan jerung dilihat secara tiba-tiba melompat dari air dan menggigit bahagian kaki lelaki itu.
‘Serangan’ yang berlaku di Laut Merah pada Jumaat lalu itu menyebabkan lelaki tersebut kehilangan bahagian belakang kakinya serta menyebabkan tendon terputus, otot terkoyak dan beberapa tulang patah.
Mangsa yang berasal dari Jordan telah dibawa ke Hospital Tentera Prince Hashem dan terpaksa menjalani pembedahan di kaki kanannya. Dia kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Jurucakap dari Pusat Penyelaman Antarabangsa Aqaba, Mohammad Qatawneh mengatakan bahawa serangan oleh jerung jarang terjadi di Teluk Aqaba sebelum ini.
“Serangan jerung itu mendapat banyak perhatian dari media. Sejujurnya, ia menakutkan tetapi ia adalah sesuatu yang boleh berlaku di mana sahaja,” katanya.
Sementara itu, siasatan mengenai kejadian itu kini dijalankan oleh pihak berkuasa di sana.
Sumber: Daily Mail