Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Putrajaya: Syarikat milikan penuh Bumiputera, VFive Group Sdn. Bhd. secara rasminya melancarkan pelaksanaan strategi jangka panjang bagi meletakkan organisasi pada landasan yang lebih kukuh untuk terus mencapai daya tahan dan kelangsungan yang mampan.
Strategi berkenaan digerakkan melalui lima pemacu utama (5 Key Drivers) yang menjadi kerangka baharu hala tuju syarikat merangkumi Strategi Arah Tuju, Kecemerlangan Operasi, Kemampanan Kewangan, Kepimpinan dan Bakat, serta Tadbir Urus dan Integriti.
Pelancaran strategi tersebut diumumkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Hj Mohd Syafiq Bin Hj Abdullah, dalam Majlis Apresiasi Gema Qalbi VFive Group 2025 yang berlangsung di Putrajaya Marriott Hotel baru-baru ini.
Mengulas mengenai aspirasi ini, beliau menegaskan bahawa VFive tidak lagi melihat kejayaan dalam kerangka jangka pendek semata-mata, sebaliknya mahu memposisikan syarikat sebagai sebuah konglomerat yang kekal kompetitif untuk tempoh 50 hingga 100 tahun akan datang.
"Fokus kami adalah memastikan VFive berkembang secara konsisten dan berstruktur supaya organisasi ini terus relevan dan memberi impak merentas generasi," katanya.
"Untuk mencapai matlamat tersebut, strategi perniagaan, tadbir urus yang baik, kestabilan kewangan dan pembangunan modal insan perlu bergerak secara seimbang dan berterusan," tambah beliau.

Di bawah Strategi Arah Tuju, VFive memberi fokus kepada pengukuhan sektor teras seperti pengurusan fasiliti dan pembinaan ke arah skala jangka panjang. Pendekatan pembangunan portfolio berasaskan aset serta model konsesi diperuaskan bagi mewujudkan aliran pendapatan yang lebih stabil dan berstruktur.
Dalam aspek Keemerlangan Operasi, syarikat komited memperkasakan penggunaan inovasi dan teknologi pintar merentasi keseluruhan kitaran projek, di samping memperkukuh inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan keekapan serta kualiti pelaksanaan.
Bagi Kemampanan Kewangan pula, tumpuan diberikan kepada pengukuhan aliran tunai positif dan pengembangan sumber pendapatan berulang (recurring income), sekali gus membina daya tahan kewangan yang mampu menyerap ketidaktentuan ekonomi global.
Komponen Kepimpinan dan Bakat menekankan pembangunan modal insan secara sistematik serta melahirkan lebih ramai pemimpin yang selari dengan nilai teras syarikat. Langkah ini dilihat penting dalam memastikan kesinambungan organisasi dipacu oleh generasi kepimpinan yang berprinsip dan berwibawa.
Sementara itu, aspek Tadbir Urus dan Integriti menegaskan komitmen untuk menjadikan integriti sebagai standard pengurusan, di samping memperkukuh kerangka pematuhan, ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap keputusan strategik.

Menariknya, keseluruhan kerangka jangka panjang ini diinspirasikan daripada lima Rukun Islam yang menjadi asas pembentukan nilai dalaman organisasi. Nama "VFive" sendiri diilhamkan daripada lima prinsip tersebut yang diterjemahkan ke dalam budaya kerja dan pendekatan kepimpinan.
"Lima Rukun Islam menekankan integriti, disiplin, tanggungjawab sosial dan komitmen jangka panjang. Nilai-nilai spiritual ini menjadi asas dalam membentuk budaya kerja serta pengurusan VFive Group yang berprinsip," jelas beliau.
Prinsip Syahadah adalah simbolik kepada sebagai integriti tujuan dan akauntabiliti dalam setiap tindakan. Solat melambangkan konsistensi dan disiplin pelaksanaan. Zakat menegaskan tanggungjawab yang melangkaui keuntungan semata-mata. Puasa mencerminkan kawalan serta disiplin dalam tadbir urus manakala Haji menggambarkan visi strategik dan komitmen yang jelas terhadap hala tuju jangka panjang.
Menurut beliau, gabungan strategi korporat yang progresif dengan sistem nilai yang cemerlang merupakan asas utama dalam membina organisasi yang mampu bertahan merentas generasi.
"Pertumbuhan perlu disokong oleh prinsip yang kukuh, manakala prinsip pula perlu diterjemahkan melalui strategi yang jelas. Gabungan kedua-duanya penting dalam memastikan organisasi mampu bertahan dalam jangka masa panjang," ujarnya lagi.
Melalui pelaksanaan lima pemacu strategik dan pengukuhan prinsip nilai ini, VFive Group menyasarkan untuk muncul sebagai organisasi yang bukan sahaja mencatat kejayaan komersial, tetapi turut menyumbang secara konsisten kepada pembangunan industri dan kesejahteraan masyarakat.
Pada masa yang sama, majlis tahunan yang dianjurkan oleh VFive Group ini turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara warga kerja dan pemegang taruh, selain menyantuni tetamu jemputan termasuk anak-anak yatim dan pelajar tahfiz. VFive Group turut menyalurkan sumbangan kepada masjid, surau, pusat tahfiz serta pertubuhan kebajikan dalam bentuk replika cek sebagai simbol komitmen berterusan terhadap tanggungjawab sosial.
VFive Group akan terus memperkukuh sinergi bersama rakan strategik dan pemegang taruh bagi memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang konsisten dan berimpak. Langkah ini menandakan permulaan fasa baharu pertumbuhan yang lebih tersusun dan berfokus.