Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Raja Permaisuri Agong Gesa Pelan Jangka Panjang Tangani Kesan Jerebu Terhadap Pelajar

AGONG
Kredit: Facebook Sultan Ibrahim

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menggesa kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat mengambil langkah proaktif secara bersama bagi menangani kesan fizikal serta psikologi jerebu terhadap pelajar dan keluarga.

Seri Paduka Baginda bertitah, tindakan bersepadu secara menyeluruh amat diperlukan bagi mendepani cabaran itu, selain menekankan kepentingan merangka strategi jangka panjang dan bukannya sekadar menyediakan penyelesaian sementara ketika krisis melanda.

“Tindakan kolektif terutamanya daripada pihak kerajaan dan sektor swasta bagi merancang langkah proaktif diperlukan, bagi menangani kesan fizikal serta psikologi jerebu terhadap pelajar dan keluarga.

“Di samping itu, kerjasama erat daripada komuniti setempat amat diperlukan untuk memperkasakan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) agar lebih berkesan.

“Pihak berkaitan juga perlu merangka pelan strategi bagi jangka masa panjang, bukannya sekadar penyelesaian sementara sewaktu krisis jerebu melanda,” titah Seri Paduka Baginda.

Kenyataan titah perutusan itu dimuat naik menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, malam tadi.

Titah berkenaan dizahirkan ketika Sesi Menghadap Takzim Kerajaan Negeri Johor, Ibu Bapa serta Warga Pendidik Berhubung Isu Jerebu dan Persekolahan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Kesidang, Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), semalam.

Sesi itu mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap kesejahteraan dan pendidikan generasi muda yang terkesan akibat fenomena jerebu.

Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Dalam perutusan sama, Seri Paduka Baginda merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Jeffrey Cheah dan Jeffrey Cheah Foundation atas sumbangan pelitup muka untuk kegunaan murid sekolah di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Baginda turut memuji komitmen Tan Sri Patrick Yeoh dan YTL Communications dalam membekalkan kad SIM bagi menyokong akses pembelajaran digital pelajar.

Seri Paduka Baginda juga menghargai sumbangan pelbagai rakan kerjasama lain dalam membantu menjaga kebajikan murid sekolah ketika berdepan situasi berkenaan.

Sesi menghadap itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali.

Hadir sama ialah wakil jabatan negeri dan Persekutuan, wakil guru, ibu bapa serta wakil penduduk Bangsa Johor Bahagia (BJB) dan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Intipati
  • Raja Zarith Sofiah menggesa pelan jangka panjang menangani kesan jerebu terhadap pelajar.
  • Baginda menekankan kerjasama kerajaan, sektor swasta dan komuniti bagi memperkukuh pelaksanaan PdPR.
  • Sumbangan pelitup muka dan kad SIM dihargai bagi menyokong murid terkesan jerebu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan