Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

USM Sokong Penggubalan Akta Baharu Ganti AUKU

AUKU
Kredit: Bernama

Universiti Sains Malaysia (USM) menyambut baik usaha memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi negara menerusi penggubalan akta baharu yang lebih komprehensif bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, usaha berkenaan selaras dengan agenda pembentukan One Higher Education Act seperti digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

Kredit: Facebook USM

Menurutnya, sejak diperkenalkan pada 1971, AUKU telah melalui lapan kali pindaan di Parlimen bagi menyesuaikannya dengan perkembangan semasa pendidikan tinggi.

“Walaupun semua pindaan tersebut mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk menyesuaikan pendidikan tinggi dengan perkembangan semasa, terutama dalam memberikan ruang autonomi lebih luas kepada mahasiswa dari perspektif kepimpinan, kebebasan bersuara dan penyertaan serta persediaan menjadi pemimpin masyarakat.

“AUKU telah lapan kali dipinda tetapi masih terdapat pandangan bahawa ia bersifat mengawal. Ini menunjukkan pindaan sebelum ini masih belum sepenuhnya menjawab kebimbangan dan aspirasi sebahagian pihak, khususnya generasi mahasiswa hari ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Abdul Rahman berkata, USM berpandangan tidak salah sekiranya negara menilai semula keseluruhan kerangka AUKU, termasuk memansuhkannya dan menggantikannya dengan undang-undang baharu.

Jelasnya, pendekatan itu wajar sekiranya ia mampu menghasilkan sistem pendidikan tinggi yang lebih baik, progresif serta mendapat keyakinan semua pihak berkepentingan, terutama mahasiswa.

Katanya, perkara lebih penting bukan sama ada nama AUKU dikekalkan atau dimansuhkan, sebaliknya bagaimana undang-undang baharu itu dibentuk serta prinsip yang akan mendasarinya.

“USM yakin akta baharu tersebut akan digubal melalui proses konsultasi yang inklusif dengan mahasiswa, kepimpinan universiti, ahli akademik, ahli legislatif, pakar perundangan dan pihak berkepentingan lain.

“Pendekatan itu selari dengan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir bahawa proses pembentukan kerangka baharu akan dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan, terutama mahasiswa,” katanya.

Menurut Abdul Rahman, USM turut menyambut baik penegasan Zambry bahawa matlamat pembaharuan berkenaan bukan sekadar memansuhkan sebuah akta, sebaliknya membina kerangka pendidikan tinggi yang lebih komprehensif.

Tambahnya, kerangka baharu itu perlu memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa, selain memastikan aspek tadbir urus, akauntabiliti serta kecemerlangan institusi pendidikan tinggi terus dipelihara.

“USM berharap kerangka perundangan baharu yang bakal dibentuk nanti dapat mencapai keseimbangan antara memberikan ruang lebih luas kepada autonomi universiti, kebebasan akademik dan suara mahasiswa dengan keperluan memelihara tadbir urus, akauntabiliti, integriti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi,” katanya.

Intipati
  • USM menyokong penggubalan akta baharu bagi menggantikan AUKU yang diperkenalkan sejak 1971.
  • Abdul Rahman berkata AUKU sudah lapan kali dipinda tetapi masih dianggap mengawal.
  • USM berharap kerangka baharu menyeimbangkan autonomi, kebebasan akademik, suara mahasiswa dan tadbir urus.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan