Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Keputusan JPPM Bukti PN Di Bawah Kepimpinan PAS Langgar Akta Pertubuhan 1966 - Azmin

Keputusan JPPM
Kredit: Bernama

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) membuktikan bahawa gabungan yang dipimpin oleh PAS itu telah melanggar Akta Pertubuhan 1966, peraturan-peraturan berkaitan serta Perlembagaan PN.

Menurutnya, alasan dan keterangan yang diberikan oleh PAS dalam siasatan yang dijalankan oleh JPPM terbukti tidak berasas dan tidak memenuhi kehendak undang-undang dan Perlembagaan PN.

“Tindakan kepimpinan Perikatan Nasional yang dipengerusikan oleh PAS menafikan hak BERSATU untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada 16 Julai 2026 adalah satu kesalahan yang ‘fatal’ dan pelanggaran Fasal 7.1 Perlembagaan Parti Perikatan Nasional.

“Tindakan melanggar undang-undang membawa mudarat besar dan dampaknya akan menghancurkan masa depan Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Azmin berkata kepimpinan PN yang mengenepikan amalan urus tadbir yang baik dan telus telah menimbulkan keadaan yang boleh disifatkan sebagai satu ancaman.

Menurutnya, keadaan itu turut memberikan tekanan untuk melucutkan keanggotaan dan menggugurkan BERSATU sebagai parti anggota yang sah dalam PN melalui kuasa 'veto' oleh individu yang bukan pemegang jawatan dalam Majlis Tertinggi gabungan berkenaan.

“Kenyataan media BERSATU pada 25 September 2026 mengesahkan bahawa BERSATU telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada JPPM pada 18 Ogos 2026.

“BERSATU tuntas memberikan penjelasan berfakta dan bukti-bukti yang menunjukkan bahawa kepimpinan Perikatan Nasional telah menafikan hak BERSATU seperti dijamin oleh Perlembagaan Perikatan Nasional dan seterusnya melanggar peruntukan dalam Akta Pertubuhan.

“Keputusan JPPM hari ini sekaligus membuktikan bahawa BERSATU berada di pihak yang benar untuk menyelamatkan Perikatan Nasional.

“Aduan yang dibuat oleh BERSATU pada 11 Ogos 2026 adalah bertujuan untuk memastikan Perikatan Nasional diurus dengan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan berintegriti serta mematuhi semua kehendak undang-undang dan Perlembagaan Parti,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa PN tidak boleh dibenarkan menjadi tempat berteduh kumpulan yang rakus kuasa politik dan cuba ‘hijack’ jenama gabungan tersebut yang sederhana, progresif dan cakna rakyat Malaysia.

“Hari ini, PAS dan sekutunya memberi gambaran seolah-olah mereka adalah mangsa politik dan cuba meraih simpati menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka.

“Hentikan propaganda dan politik identiti yang melampau. Hakikatnya, PAS gagal mengurus sebuah organisasi berteraskan prinsip demokrasi, urus tadbir yang baik dan sering mengkhianati rakan dalam perjuangan.

“Sesungguhnya, mengenepikan kebenaran adalah perbuatan yang tercela,” kata Azmin.

Azmin mengakui keputusan JPPM amat berat untuk diterima oleh BERSATU kerana BERSATU adalah ‘founding member of Perikatan Nasional’ dan telah berjaya meletakkan asas kukuh sebuah perjuangan.

Bagaimanapun, BERSATU sebagai Anggota Parti yang sah menerima kenyataan bahawa PN mesti melaksanakan tanggungjawab selaras dengan Perlembagaan PN dan Akta 832 bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang serta kelangsungan tadbir urus parti yang teratur dan sah.

“BERSATU akan meneliti keputusan penuh JPPM dan akan membincangkan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU mengenai langkah-langkah seterusnya untuk membina semula keyakinan rakyat kepada sebuah gabungan parti-parti politik yang sederhana, membawa politik nilai dan membina gagasan baru demi Malaysia yang sejahtera untuk semua rakyat Malaysia,” tambahnya lagi.