Usaha untuk memecat Setiausaha Perang Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, gagal selepas majoriti anggota Republikan menolak usul berkenaan pada Selasa.
Usul itu dikemukakan susulan dakwaan bahawa Hegseth menyalahgunakan kuasa dan melanggar Perlembagaan menerusi pengendalian perang Iran serta beberapa operasi ketenteraan lain.
Keputusan itu dibuat seminggu selepas Republikan kehilangan penguasaan Dewan Perwakilan dan Senat dalam pilihan raya pertengahan penggal yang menyaksikan kekalahan besar parti berkenaan.
Penolakan itu juga memperlihatkan keengganan anggota Republikan untuk mengambil tindakan terhadap Hegseth, lebih-lebih lagi selepas Presiden Donald Trump berulang kali mempertahankan beliau.
Usaha memecat Hegseth dicetuskan anggota Republikan, Thomas Massie pada September lalu selepas beliau mengemukakan lapan dakwaan terhadap setiausaha pertahanan itu.
Massie sebelum ini berselisih pendapat dengan Trump sehingga kehilangan sokongan presiden dalam pemilihan calon parti bagi kerusi Dewan Perwakilan.
Usaha Pecat Setiausaha Perang AS Gagal

Antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk serangan terhadap orang awam di Iran, operasi ketenteraan tanpa kebenaran di Venezuela dan Yaman serta tindakan terhadap seorang senator Demokrat.
Pemimpin Demokrat turut menyatakan sokongan terhadap usul berkenaan, namun Republikan mengemukakan cadangan supaya perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Kehakiman.
Cadangan tersebut diluluskan dengan 211 undi menyokong berbanding 204 undi menentang, sekali gus menghentikan usaha membawa usul pemecatan itu ke peringkat seterusnya.
Massie menjadi satu-satunya anggota Republikan yang menolak cadangan berkenaan, manakala anggota Demokrat turut mengundi menentangnya.
Trump yang pernah dua kali berdepan proses pemecatan ketika memegang jawatan presiden menyambut baik keputusan tersebut menerusi satu hantaran di Truth Social.
Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai pembebasan seorang patriot Amerika, selain mengecam Massie kerana mencetuskan undian berkenaan.
“Demokrat terus memperalatkan dan menyalahgunakan Amerika Syarikat. Mereka mesti dihentikan!” katanya.
Pentagon turut menyambut baik keputusan itu apabila jurucakapnya, Sean Parnell menyifatkan tindakan merujuk usul berkenaan kepada Jawatankuasa Kehakiman sebagai kemenangan mutlak.
Beliau berkata keputusan itu merupakan kemenangan buat Hegseth, Jabatan Perang serta anggota tentera Amerika yang sedang menjalankan tugas.
Bagaimanapun, isu pemecatan Hegseth dijangka belum berakhir apabila Demokrat bakal mengambil alih penguasaan Kongres pada Januari depan.
Ketua minoriti Dewan Perwakilan, Hakeem Jeffries yang dijangka menjadi speaker seterusnya turut menyokong usaha menyingkirkan Hegseth daripada jawatannya.
Jeffries sebelum ini mendakwa tindakan setiausaha pertahanan itu telah menjejaskan keselamatan negara Amerika, terutama menerusi pengendalian perang Iran.
Dalam wawancara bersama PBS pada Selasa, Jeffries secara terbuka menyatakan sokongan penuh terhadap usul pemecatan berkenaan.
“Beliau menyalahgunakan kuasa dan menjejaskan keselamatan negara kita. Hegseth juga menjadi dalang kepada perang pilihan di Iran yang melulu dan menelan belanja besar.
“Konflik itu menjadikan negara kita kurang selamat dan meningkatkan kos kehidupan rakyat Amerika,” katanya.
Beberapa jam sebelum undian berlangsung, Hegseth mengadakan sidang media di Pentagon bagi menjawab usaha untuk memecatnya.
Beliau menyifatkan tindakan Massie sebagai satu pertunjukan politik yang sengaja dicetuskan oleh anggota Kongres berkenaan.
“Ia satu sandiwara dan helah politik, malah semua orang tahu perkara itu,” katanya.
Dalam pada itu, perang Iran turut mencetuskan perbezaan pendapat dalam kalangan anggota Republikan, terutama menjelang pilihan raya pertengahan penggal.
Malah, sebahagian anggota parti itu sebelum ini menyokong resolusi bersama Demokrat bagi mendesak Trump menghentikan operasi ketenteraan terhadap Iran.
Untuk rekod, Hegseth pernah bekerja sebagai pengacara Fox News sebelum dilantik sebagai Setiausaha Pertahanan dalam pentadbiran kedua Trump.
Sepanjang memegang jawatan itu, beliau mengambil beberapa langkah besar dalam menyusun semula kepimpinan serta pengurusan angkatan tentera Amerika.
Antaranya termasuk menyingkirkan beberapa jeneral kanan dan menyekat kenaikan pangkat puluhan pegawai, termasuk wanita serta anggota kumpulan minoriti.
Beliau turut memperkenalkan peraturan baharu berkaitan petugas media sehingga menyebabkan sebahagian besar wartawan meninggalkan Pentagon.
Dalam usul pemecatannya, Massie menyenaraikan lapan dakwaan pelanggaran Perlembagaan yang dikaitkan dengan tindakan Hegseth.
Antaranya termasuk melancarkan serangan terhadap Iran tanpa mendapatkan kebenaran Kongres terlebih dahulu serta mengabaikan resolusi penamatan perang.
Sekiranya usul pemecatan itu diluluskan Dewan Perwakilan, ia masih perlu mendapat sokongan Senat yang ketika itu dikuasai Republikan dengan majoriti 53 kerusi.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada usul tersebut mampu memperoleh sokongan mencukupi atau dibawa untuk undian oleh pemimpin Republikan, John Thune.

