Pihak pembangkang Paraguay mengemukakan usul pemecatan Presiden Santiago Pena susulan tindakan Bank Pusat mengambil alih sebuah bank utama yang dikaitkan dengannya.
Seorang anggota parlimen memaklumkan kepada AFP bahawa usul itu dikemukakan pada Rabu berikutan dakwaan salah laku dan konflik kepentingan.
Tindakan mengambil alih Ueno Bank sehari sebelumnya mencetuskan gelombang bantahan apabila jutaan pendeposit, termasuk pesara, gagal mengakses wang mereka.
Pena yang berhaluan kanan pernah memiliki saham dalam sebuah kumpulan yang mengawal Ueno Bank, namun menjual pegangan tersebut tahun lalu.
Menurut anggota parlimen pembangkang, Mauricio Espinola, usul pemecatan itu memperoleh sokongan 35 tandatangan daripada wakil pembangkang.
Pembangkang Usul Pecat Presiden Paraguay

Beliau berkata, Kongres akan mengadakan persidangan pada pagi Khamis bagi membincangkan usul berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Sekurang-kurangnya 53 daripada 80 anggota parlimen perlu menyokong usul itu supaya pemecatan Pena dan Naib Presiden Pedro Alliana dapat diteruskan.
Usul berkenaan kemudiannya perlu dibawa ke Senat dan memerlukan sekurang-kurangnya 30 daripada 45 undi untuk diluluskan.
Bagaimanapun, parti pemerintah Pena masih menguasai majoriti kerusi di kedua-dua dewan parlimen berkenaan.
Simpanan Seumur Hidup Lesap
Pada Selasa dan Rabu, barisan panjang pendeposit yang mahu mengeluarkan wang dari cawangan Ueno memenuhi jalanan sekitar ibu negara, Asuncion.
Pendeposit yang kecewa turut menyertai beberapa demonstrasi di sekitar ibu negara pada kedua-dua malam berkenaan.
“Saya kehilangan seluruh simpanan hidup saya,” kata Marcelino Vergara, 68, kepada AFP ketika menyertai salah satu demonstrasi.
“Mereka semua sepatutnya dipenjarakan,” katanya.
Pena cuba menenangkan pendeposit dan meredakan kemarahan rakyat Paraguay susulan krisis yang menjejaskan kehidupan mereka.
Pelanggan Gagal Keluarkan Wang

“Sistem kewangan negara berada dalam keadaan kukuh, dengan institusi serta mekanisme perlindungan yang tersedia,” katanya menerusi video di X pada Rabu.
Beliau turut meluluskan undang-undang bagi membolehkan pendeposit mengeluarkan sebahagian wang jaminan dalam tempoh sesingkat mungkin.
Langkah itu bertujuan memastikan wang berkenaan dapat dikembalikan kepada pemiliknya tanpa perlu menunggu terlalu lama.
Atas permintaan Pena pada Selasa, Presiden Bank Pusat, Carlos Carvallo, yang pernah mengetuai Ueno, turut meletakkan jawatan.
Pihak berkuasa juga mengeluarkan waran tangkap terhadap lapan eksekutif kanan Ueno, termasuk presidennya, Miguel Vazquez, yang menyerah diri kepada polis.
Ueno mendakwa mempunyai lebih tiga juta pelanggan, hampir separuh daripada jumlah penduduk Paraguay, selain menguruskan jutaan dolar dana pencen dan kerajaan.
Bank Pusat berkata, pengambilalihan itu dilakukan selepas Ueno mengalami kekurangan modal yang serius bagi melindungi pendeposit dan mengekalkan kestabilan sistem kewangan.
Pihak berkuasa menggantung sementara semua perkhidmatan bank berkenaan sementara proses pemulangan wang deposit kepada pelanggan disusun.
Undang-undang yang diluluskan Pena menetapkan pembayaran wang kepada pendeposit perlu dilaksanakan dalam tempoh lima hari. - AFP

