Platform kebajikan Setlary bekerjasama dengan Health Lane Family Pharmacy melancarkan inisiatif bantuan kecemasan bagi menyediakan pelitup muka percuma kepada 80,000 pekerja di seluruh negara susulan kemerosotan kualiti udara.
Inisiatif itu dilancarkan di Health Lane Ombak KLCC menerusi upacara pemotongan reben dan penyerahan simbolik pek bantuan pertama oleh Pengasas Bersama Setlary, Ang Gee Guan, bersama Pengarah Health Lane Family Pharmacy, Datin Lee Ai Lang.
Menurut kenyataan berkenaan, inisiatif itu menyasarkan golongan pekerja yang perlu menjalankan tugas di luar atau di kawasan terdedah kepada udara tercemar, termasuk penunggang penghantaran, petugas kilang dan warga kota.
Selain pelitup muka percuma, penerima turut dibekalkan Kit Kesihatan Asas yang mengandungi barangan sokongan kesihatan bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan ketika berdepan keadaan berkenaan.
Bagi mendapatkan bantuan itu, pekerja yang layak hanya perlu menjana baucar digital menerusi aplikasi mudah alih Setlary sebelum menebusnya di kaunter lebih 260 cawangan Health Lane di seluruh negara.
Pengasas Bersama Setlary, Ang Gee Guan berkata, kemerosotan kualiti udara boleh meningkatkan perbelanjaan harian pekerja, khususnya mereka yang bergantung pada pendapatan harian atau bulanan.
“Apabila amaran kualiti udara IQAir mula membimbangkan, perbelanjaan harian turut terjejas tanpa disedari.
“Keselamatan diri tidak wajar dikorbankan demi menampung belanja makan. Kerjasama ini membolehkan bantuan disalurkan terus kepada mereka secara pantas dan percuma,” katanya.
Sementara itu, Datin Lee Ai Lang berkata, perlindungan awal penting ketika kualiti udara merosot dan pekerja tidak sepatutnya menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan atau menanggung kenaikan harga ketika musim jerebu.
Menurutnya, rangkaian lebih 260 cawangan Health Lane membolehkan bantuan dan khidmat nasihat ahli farmasi diakses berhampiran tempat kerja serta kediaman penerima.
Penebusan pelitup muka percuma dan Kit Kesejahteraan Pekerja boleh dibuat menerusi aplikasi Setlary di cawangan Health Lane yang mengambil bahagian sepanjang tempoh kempen.

