UMNO memandang serius dan amat kesal dengan tindakan penyebaran minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung permohonan pengampunan Datuk Seri Mohd Najib Razak susulan tindakan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, yang memuat naik dokumen berkenaan melalui akaun Facebook beliau.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa kuasa pengampunan, pengurangan dan melegakan hukuman merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru, segala urusan dan dokumen yang berkaitan dengan prosiding Lembaga Pengampunan sewajarnya diuruskan dengan penuh cermat, kerahsiaan dan penghormatan terhadap kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan.
UMNO Pandang Serius Tindakan Sebar Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Najib

Susulan itu, beliau mempersoalkan sama ada penyahklasifikasian dan pendedahan minit mesyuarat tersebut telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Dalam pada itu, beliau berkata walaupun terdapat proses penyahklasifikasian dokumen, UMNO berpandangan bahawa perkara yang menyentuh secara langsung prosiding Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Seri Paduka Baginda sewajarnya terlebih dahulu dirujuk kepada Baginda bagi mendapatkan perkenan.
“UMNO berpandangan penularan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan oleh bekas Ahli Parlimen DAP ini adalah satu bentuk penghinaan dan hasutan yang disengajakan untuk membuka perdebatan dan polemik mempersoalkan, menghina dan meremeh kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.
Asyraf turut mendakwa bahawa Tony terus memperalatkan prosiding pengampunan diraja sebagai bahan perbalahan politik dan langsung tidak menghormati kemuliaan institusi Raja Perlembagaan.
Sehubungan itu, UMNO mendesak pihak Kerajaan memberikan penjelasan segera tentang proses, asas perundangan dan pihak yang meluluskan penyahklasifikasian minit mesyuarat tersebut, termasuk sama ada perkenan Seri Paduka Baginda telah diperoleh.
Tegasnya, jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau prosedur, tindakan tegas mestilah segera diambil bagi mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, keluhuran Perlembagaan dan menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

