KUALA LUMPUR, 27 Mei — Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini melakukan penerbangan ihsan membawa seorang bayi berusia 60 hari yang mempunyai masalah jantung dari Terengganu ke Pangkalan Udara Subang dekat sini.
TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan bayi itu bersama ibunya diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dengan pesawat Charlie 130 Hercules dari No 20 Skuadron.
“Pesawat yang membawa bayi yang memerlukan rawatan segera di Institut Jantung Negara (IJN) itu tiba di Pangkalan Udara Subang pada 12.50 tengah hari,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan TUDM itu memaklumkan meskipun pihaknya kini giat melaksanakan rondaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin namun tanggungjawab sosial demi kesejahteraan rakyat tetap dilaksanakan.
“TUDM akan terus komited melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terus dipelihara terutama kepada golongan yang sangat memerlukan,” menurut kenyataan itu.
Sumber: Bernama