KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Dua syarikat pembekal bahan api, Petron dan Chevron pemilik jenama Caltex, telah mula melaksanakan pembayaran ganti rugi secara ihsan kepada pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan enjin, susulan isu pencemaran petrol RON95.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kedua-dua syarikat minyak tersebut, telah memulakan tindakan susulan melibatkan aduan kerosakan yang disahkan sahih sementara siasatan terperinci masih berjalan.
“Pihak Caltex dan Petron telah merangka program pemulihan pelanggan melalui program bantuan, yang melibatkan pembayaran secara ihsan berpandukan kriteria yang telah ditetapkan, tanpa sebarang pengakuan terhadap kesalahan atau liabiliti pada peringkat ini.
“Pembayaran tersebut akan diberikan kepada pelanggan yang telah mengemukakan aduan lengkap berserta dokumen sokongan yang sah,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang ingin tahu keputusan analisis Jabatan Kimia terhadap sampel RON95 di lima negeri dan depoh, serta tindakan segera kerajaan memulihkan keyakinan pengguna dan penyediaan pampasan bagi kenderaan yang terjejas.
Mengenai perkembangan siasatan, Armizan berkata keputusan analisis awal oleh Jabatan Kimia ke atas 43 sampel petrol mendapati, tiada unsur pencemaran air dikesan setakat ini.
Beliau berkata laporan awal bertarikh 29 Okt menunjukkan kandungan air berada pada tahap kurang daripada 0.05 peratus, iaitu di bawah had minimum pengesanan yang dapat dilaporkan.
“Baki sampel yang lain masih dalam proses analisis dan laporan penuh akan dikeluarkan selepas semua sampel selesai dianalisis oleh Jabatan Kimia.
“Tumpuan segera diberikan kepada parameter pengesanan air dan setakat ini ia nampak tidak (tiada unsur air). Jadi kita melihat siasatan lanjut kepada kehadiran benda asing yang lain dan juga formula bekalan pada tempoh tertentu,” katanya.
Armizan berkata secara keseluruhan, sejumlah 262 sampel petrol RON95 telah diambil di lapan negeri dan tiga depoh syarikat minyak sejak aduan mula diterima pada 3 Okt lepas.
Selain ujian tempatan, beliau berkata kedua-dua syarikat minyak berkenaan turut menghantar sampel ke makmal masing-masing termasuk di luar negara.
“Walaupun siasatan dapatan tadi belum konklusif, tetapi kita melihat ia bukan isu yang melibatkan keseluruhan rantaian bekalan itu, hanya bekalan pada tempoh masa tertentu,” katanya.
Armizan berkata insiden berkenaan tidak dianggap sebagai kes terpencil sungguhpun ia tertumpu pada tempoh tertentu di lokasi tertentu, khususnya di Kedah dan Pulau Pinang, selain terdapat stesen minyak yang masih terpaksa ditutup sehingga kini.
Bagi mengelakkan isu serupa berulang, beliau berkata kementerian kini sedang membuat penandaarasan dengan beberapa negara seperti Singapura, United Kingdom dan Australia, untuk memastikan standard kualiti dan pemantauan di keseluruhan rantaian bekalan.
Sementara itu, Armizan berkata pemilik kenderaan yang tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang ditawarkan masih mempunyai saluran undang-undang, termasuk membuat aduan rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), memfailkan tindakan sivil atau merujuk kes berkenaan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).


