Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Trump Bantah Syarat Iran, Cetus Ketegangan Baharu Di Asia Barat
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyifatkan syarat yang dikemukakan Iran bagi menamatkan perang di Asia Barat sebagai 'sama sekali tidak boleh diterima', lapor AFP.
Ia sekali gus meningkatkan kemungkinan tercetusnya konflik baharu selepas beberapa minggu rundingan diadakan.
Iran dilaporkan telah memberikan maklum balas terhadap cadangan damai terbaharu Washington semalam.
Dalam respons tersebut, Tehran memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk bertindak balas terhadap sebarang serangan baharu Amerika Syarikat (AS) serta tidak akan membenarkan kehadiran lebih banyak kapal perang asing di Selat Hormuz.
Trump bagaimanapun tidak memperincikan kandungan cadangan balas Iran tersebut. Namun, dalam satu catatan ringkas di platform Truth Social miliknya, beliau menolak tawaran berkenaan.
“Saya baru sahaja membaca jawapan daripada ‘Wakil’ Iran. Saya tidak menyukainya, sama sekali tidak boleh diterima," ujar beliau.
Menurut AFP, pertukaran kenyataan itu berlaku ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa konflik berkenaan tidak akan berakhir selagi uranium yang diperkaya Iran tidak dikeluarkan dan kemudahan nuklearnya tidak dilucutkan sepenuhnya.
Namun begitu, Tehran secara terbuka mengekalkan pendiriannya untuk menentang tuntutan Tel Aviv, meskipun terdapat usaha diplomasi di sebalik tabir.
“Kami tidak akan tunduk kepada musuh, dan sekiranya terdapat perbincangan mengenai dialog atau rundingan sekalipun, ia tidak bermakna kami menyerah atau berundur,” kata Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menerusi hantaran di platform X.