Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke arah Laut Timur pada Isnin, menurut tentera Korea Selatan, ketika ketegangan antara kedua-dua negara meningkat susulan insiden letupan periuk api di kawasan sempadan yang mencederakan tiga anggota tentera Korea Selatan bulan lalu.
Korea Utara lancar beberapa peluru berpandu balistik
Memetik laporan AFP, Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) memaklumkan pihaknya mengesan beberapa peluru berpandu balistik dilancarkan dari kawasan Pyongyang kira-kira 9.20 pagi waktu tempatan (12.20 tengah malam GMT) menuju ke Laut Timur, yang turut dikenali sebagai Laut Jepun.
“Pihak tentera kami telah mempertingkatkan pengawasan dan kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan pelancaran tambahan,” menurut kenyataan JCS.
Kementerian Pertahanan Jepun turut mengesahkan secara berasingan bahawa sekurang-kurangnya sebuah peluru berpandu yang disyaki peluru berpandu balistik telah dilancarkan.
Ketegangan antara kedua-dua Korea meningkat sejak tiga anggota tentera Korea Selatan cedera bulan lalu apabila dua periuk api meletup di kawasan Zon Bebas Tentera (DMZ) yang berada di bawah kawalan Seoul.
Siasatan bersama Korea Selatan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati Korea Utara dipercayai memasang periuk api berkenaan lebih setahun lalu. Bagaimanapun, Pyongyang menafikan dakwaan itu dengan keras.
Sejak insiden tersebut, Korea Utara turut melancarkan sebuah peluru berpandu balistik yang menurutnya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), manakala Korea Selatan mengumumkan kejayaan ujian senjata hipersonik buatan tempatan minggu lalu.
Kim Yo Jong, adik kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, berkata pelancaran pada 3 Oktober lalu melibatkan peluru berpandu yang “mampu mengubah trajektori penerbangan pada altitud rendah dan dilengkapi teknologi AI”.
Beberapa hari kemudian, Seoul mengumumkan pihaknya telah menguji kenderaan luncur hipersonik (HGV) buatan tempatan. Senjata itu dibawa ke atmosfera atas menggunakan penggalak roket atau peluru berpandu balistik sebelum meluncur ke arah sasaran.
Pejabat Presiden Korea Selatan menyifatkan HGV itu sebagai keupayaan pencegahan baharu yang mampu menyerang sasaran utama dalam lingkungan operasi di Semenanjung Korea.
Sejak insiden periuk api pada 21 September lalu, Seoul menuntut permohonan maaf daripada Pyongyang. Bagaimanapun, Kim Yo Jong menyifatkan tuntutan itu sebagai “keji” dan menolak rancangan Seoul untuk memindahkan peralatan perubatan ke Korea Utara.
“Jika Korea Selatan benar-benar mahu memulihkan hubungan antara Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) dengan Korea Selatan, mereka perlu mengambil kira perasaan pihak satu lagi dalam setiap perkataan dan tindakan, serta terlebih dahulu menunjukkan rasa hormat, pertimbangan dan keikhlasan yang sepenuhnya,” katanya pada Khamis.
DMZ merupakan antara kawasan sempadan paling dikawal ketat di dunia. Insiden melibatkan periuk api sebelum ini turut mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara.
Korea Selatan dan Korea Utara secara teknikal masih berperang selepas konflik Korea berakhir pada 1953 melalui perjanjian gencatan senjata, tanpa sebarang perjanjian damai dimeterai.

