Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Top Gear Kembali Selepas Empat Tahun, Gordon Ramsay Diumum Sebagai Pengacara Baharu

ramsay
Kredit: BBC

Chef selebriti terkenal, Gordon Ramsay bakal mengetuai barisan pengacara baharu rancangan permotoran BBC, Top Gear yang akan kembali bersiaran pada 2028 selepas berehat selama empat tahun.

Ramsay akan mengendalikan rancangan berkenaan bersama beberapa pengacara lain yang identitinya masih belum diumumkan. Penggambaran dijadualkan bermula tahun depan sebelum siri itu kembali menemui penonton pada 2028.

Top Gear tidak bersiaran sejak 2022 susulan kemalangan membabitkan bekas pengacaranya, Andrew Flintoff, yang mengalami kecederaan serius pada bahagian muka dan tulang rusuk selepas kereta tiga roda tanpa bumbung yang dipandunya terbalik ketika menjalani penggambaran di litar ujian rancangan itu.

Dalam kenyataan mengumumkan pelantikan berkenaan, Ramsay berkata, beliau mahu membawa tenaga dan cita cita baharu kepada rancangan itu tanpa mengetepikan elemen kejutan, hiburan serta sedikit kekecohan yang menjadi identiti Top Gear.

Ramsay berkata, minatnya terhadap kereta bermula sejak kecil ketika membesar berhampiran litar perlumbaan Silverstone di Northamptonshire.

Katanya, beliau pernah memanjat pagar secara senyap untuk melihat perlumbaan yang berlangsung di litar berkenaan.

“Perasaan teruja sejak kecil itu mencetuskan minat sepanjang hayat terhadap kereta, sukan permotoran, reka bentuk yang menarik dan kejuruteraan luar biasa.

“Pada tahap terbaiknya, Top Gear sentiasa menawarkan sesuatu yang tidak dijangka, mengejutkan, menghiburkan dan sedikit kekecohan.

“Itulah semangat yang mahu kami teruskan dengan membawa tenaga serta cita cita baharu bagi menghasilkan sesuatu yang benar benar mengujakan generasi penonton baharu,” katanya.

Rancangan Top Gear mula diperkenalkan pada 1977 dan menjadi antara program paling popular BBC ketika dikendalikan Jeremy Clarkson, Richard Hammond dan James May pada 2000an.

Mereka kemudian digantikan oleh beberapa pengacara termasuk Chris Evans dan Matt LeBlanc, sebelum Flintoff mengambil alih pada 2018 bersama Paddy McGuinness dan Chris Harris.

Bagaimanapun, rancangan itu direhatkan selepas Flintoff terbabit dalam kemalangan pada Disember 2022.

Dalam kejadian itu, Flintoff diseret dalam keadaan tertiarap di bawah kereta Morgan Super 3 sejauh kira kira 50 meter.

Beliau pernah menceritakan pengalaman tersebut menerusi sebuah dokumentari Disney+ tahun lalu dengan berkata, ketika kejadian, beliau menyangka dirinya sudah meninggal dunia.

BBC kemudian memohon maaf dan membayar pampasan kepada Flintoff susulan kemalangan berkenaan.

Sementara itu, bekas pengacara Top Gear, Richard Hammond berkata, beliau tidak meragui minat Ramsay terhadap dunia permotoran.

Hammond yang pernah mengalami kecederaan serius ketika terbabit dalam kemalangan sewaktu penggambaran rancangan itu pada 2006 turut menyifatkan Top Gear sebagai program penting BBC yang sudah bertahan selama beberapa dekad.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual menerusi program PM di BBC Radio 4.

Menurut Hammond, pihak BBC pernah menghubunginya untuk membincangkan kemungkinan beliau kembali menerajui rancangan berkenaan, namun beliau menolak kerana tidak mahu mengembalikan Top Gear kepada format terdahulu.

Katanya, rancangan itu perlu diberi peluang untuk berkembang dengan pendekatan baharu.

Ramsay, 60, turut memiliki koleksi kereta mewah termasuk beberapa model Aston Martin dan Ferrari, selain Porsche, Land Rover serta McLaren Senna.

Beliau juga pernah muncul sebanyak tiga kali sebagai tetamu dalam Top Gear, masing masing pada 2002, 2006 dan 2017.

Pengarah Hiburan BBC, Ed Havard berkata, pendekatan Ramsay yang berani dan tegas menjadikannya pilihan sesuai untuk menerajui rancangan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan BBC Studios Entertainment, Suzy Lamb berkata, kepulangan Top Gear perlu menjadi sebuah acara televisyen yang dinanti nantikan penonton.

Menurutnya, Ramsay mempunyai minat mendalam terhadap dunia permotoran, personaliti yang mencuit hati serta semangat persaingan yang menjadi antara ciri utama rancangan itu.

Beliau turut menegaskan bahawa kemunculan semula Top Gear bukan sekadar mengimbau nostalgia, sebaliknya bakal membuka lembaran baharu dengan pendekatan lebih berani.

Sebelum ini, pelawak Jimmy Carr turut dikaitkan dengan barisan pengacara baharu Top Gear, namun laporan pada Selasa menyebut beliau menarik diri daripada rundingan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ramsay turut diumumkan bakal membintangi kebangkitan semula rancangan masakan Hell’s Kitchen menerusi saluran ITV yang akan dikendalikan Claudia Winkleman, lebih dua dekad selepas beliau mula muncul dalam program masakan selebriti berkenaan.

Intipati
  • Gordon Ramsay bakal mengetuai Top Gear apabila rancangan itu kembali bersiaran pada 2028.
  • Top Gear direhatkan sejak 2022 selepas Andrew Flintoff cedera serius ketika penggambaran.
  • BBC berkata personaliti berani Ramsay dan minat permotorannya sesuai menerajui rancangan itu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan