Di bawah deretan lebuh raya di Kuala Lumpur, sekumpulan memerang dilihat berguling dan bermain di tebing berpasir, mencuri perhatian orang ramai.
Sejak kebelakangan ini, haiwan berkenaan semakin kerap kelihatan di beberapa kawasan bandar, termasuk di sepanjang Sungai Klang.
Sungai itu sebelum ini terkenal dengan pencemaran teruk, namun kehadiran memerang menimbulkan persoalan sama ada haiwan berkenaan baru kembali atau sebenarnya sudah lama berada di situ.
Memerang licin yang dikategorikan sebagai spesies terdedah kepada kepupusan oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) itu turut memberi harapan baharu.
Ada yang melihat kehadiran haiwan berkenaan sebagai petanda usaha membersihkan Sungai Klang mula membuahkan hasil.
Sungai Klang pernah dikategorikan sebagai sungai Kelas 5, iaitu tahap pencemaran paling teruk dalam sistem pengelasan sungai Malaysia.
Namun, selepas bertahun-tahun kerja pembersihan dijalankan, statusnya meningkat kepada Kelas 3, iaitu tercemar sederhana, kata ahli ekologi hidupan liar, Woo Chee Yoong.
Memerang Mula Muncul Di Sungai Klang

Menurutnya, kehadiran memerang juga berkait rapat dengan keadaan sungai kerana haiwan itu memerlukan ikan sebagai sumber makanan.
“Di mana ada memerang, di situ ada ikan. Kalau ada ikan, ini bermakna keseluruhan sungai berada dalam keadaan bersih dan sihat untuk masyarakat sekitarnya.
“Itulah salah satu kepentingan memerang,” katanya.
Sejak beberapa tahun lalu, memerang turut dirakam berjemur di tebing konkrit sungai dan berenang berhampiran stesen tren bertingkat.
Rakaman gelagat haiwan itu turut tular di media sosial, membuatkan semakin ramai orang mengenali penghuni baharu sungai berkenaan.
Woo mula mengetahui tentang kehadiran memerang menerusi laporan media tempatan pada 2019 sebelum menubuhkan kumpulan pemuliharaan Malaysian Otter Network (MON) bersama seorang lagi pengasas pada tahun berikutnya.
“Kami tidak tahu berapa banyak kumpulan memerang yang ada atau bagaimana sebenarnya haiwan ini bergerak dari satu tempat ke tempat lain,” katanya.
Malah, masih menjadi tanda tanya sama ada memerang benar-benar kembali ke Kuala Lumpur atau selama ini memang tinggal di kawasan bandar yang jarang dikunjungi orang ramai.
MON berharap dapat menyediakan satu sistem yang membolehkan orang ramai melaporkan setiap penemuan memerang.
Penduduk Berdepan Masalah Kolam Ikan Diceroboh
Memerang turut dilihat di kawasan lain sekitar bandar, termasuk Tropicana Golf & Country Resort, sebuah kawasan perumahan mewah yang kurang senang dengan kehadiran haiwan itu.
Sekurang-kurangnya 12 rumah dilaporkan diceroboh memerang sepanjang tahun lalu, dengan kolam ikan menjadi sasaran utama.
Seorang penduduk, Yee Sze Mun, 89, berkata memerang membunuh ikan kelisa kesayangannya yang dipelihara selama 15 tahun.
“Ia memang menyusahkan, tetapi saya tidak boleh menyalahkan mereka kerana mereka juga seperti kita, perlu mencari jalan untuk terus hidup,” katanya.
Penduduk mendakwa masalah itu bermula tahun lalu selepas sebuah syarikat membersihkan kawasan hutan berhampiran untuk projek pembangunan baharu.
Presiden persatuan penduduk, Joy Appukuttan berkata, keadaan itu mungkin berlaku kerana memerang semakin kehilangan habitat asal mereka.

“Kami berdepan masalah kerana mereka kehilangan habitat,” katanya yang menyifatkan kejadian memerang menyerang kolam ikan penduduk sebagai sesuatu yang membimbangkan.
Pihak keselamatan Tropicana menganggarkan kira-kira 25 ekor memerang tinggal di kawasan hutan berhampiran.
Pihak pengurusan kemudian mendapatkan bantuan Woo untuk mengajar penduduk cara menangani kehadiran haiwan berkenaan.
Memandangkan memerang ialah spesies dilindungi di Malaysia, Woo menasihatkan penduduk menutup laluan masuk ke halaman rumah serta memasang pagar atau jaring pada kolam ikan.
Harapan Sungai Klang Kembali Seperti Dahulu
Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif yang kini menjadi penasihat bandar raya bagi pembangunan bandar mampan menyifatkan kehadiran memerang sebagai satu kelebihan.
“Memerang merupakan antara petunjuk bahawa sesebuah bandar itu bersih,” katanya.
Beliau berharap kesedaran orang ramai tentang kehadiran memerang di Sungai Klang dapat digunakan untuk menggalakkan lebih banyak usaha membersihkan sungai berkenaan.
Menerusi projek River of Life, ratusan perangkap sampah dipasang, manakala alat pengutip sampah berkuasa solar yang digunakan sebuah NGO dari Belanda berjaya mengumpulkan puluhan ribu tan sisa.
Maimunah berharap lebih banyak usaha dilakukan supaya sampah tidak terus dibuang atau mengalir masuk ke sungai.
Beliau turut mahu melihat Sungai Klang mencapai status Kelas 2B, iaitu tahap kualiti air yang membolehkan orang ramai bersentuhan dengan air sungai.
“Suatu hari nanti, saya mahu berenang di Sungai Klang,” katanya. - AFP

