Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Titah Sultan Selangor Bukan Campur Tangan Urusan Kerajaan, Selari Raja Berperlembagaan
Ahli-ahli Dewan Di-Raja Selangor menyangkal dakwaan segelintir pemimpin politik dan pihak tertentu bahawa Sultan Selangor mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri, sebaliknya selari dengan amalan Raja Berperlembagaan di negara ini.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Dewan di-Raja Selangor menegaskan titah baginda pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 pada 20 April lalu sebaliknya adalah bagi memastikan segala tindakan kerajaan negeri bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam pemerintahannya.
"Di dalam konteks negeri Selangor, Menteri Besar dikehendaki berunding dengan Sultan di dalam segala hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.
"Rundingan membawa maksud bahawa Sultan mempunyai hak untuk diberi sembah maklum oleh Menteri Besar mengenai urusan pentadbiran negeri bagi membolehkan Baginda Sultan mengetahui apa yang berlaku disamping memberi nasihat sebelum sesuatu keputusan mengenainya dimuktamadkan," katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, pandangan dan nasihat Sultan berdasarkan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi oleh kepentingan politik.
Tegas Ahli-ahli Dewan Di-Raja Selangor, sebarang nasihat, teguran dan peringatan oleh Sultan Selangor adalah merupakan nasihat dan teguran penting dari seorang Raja bagi memastikan pentadbiran negeri dijalankan dengan penuh tanggungjawab.
"Sultan sering menitikberatkan tindakan yang efektif dan bukan janji-janji kosong dalam menyelesaikan masalah rakyat bersesuaian dengan peranan Baginda Sultan sebagai Ketua Negeri.
"Malah Ahli Dewan di-Raja mendapat maklum balas Sultan Selangor kerap menerima aduan daripada rakyat tentang masalah yang melibatkan banjir, kutipan sampah, jalan berlubang serta banyak lagi masalah lain yang berkaitan dengan rakyat," katanya.
Selain itu, aduan yang diterima bukan berbentuk surat layang kerana disertakan dengan butiran lengkap termasuk nama, alamat dan nombor telefon bagi membuktikan Sultan menegur kerajaan negeri atas kesulitan dan masalah dihadapi mereka
"Berdasarkan prinsip Raja Berperlembagaan, Sultan Selangor tidak mahu bertindak sebagai “rubber stamp” atau sekadar formaliti dalam melaksanakan fungsi Baginda sebagai Sultan
"Sultan bertindak sebagai satu kuasa semak dan imbang terhadap pihak eksekutif untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara," maklum kenyataan itu.
Sehubungan itu, Dewan Di-Raja Selangor turut menzahirkan keyakinan bahawa Sultan Selangor yang mempunyai pengalaman memerintah selama 25 tahun sebagai Sultan dan 33 tahun sebagai Raja Muda memahami sepenuhnya peranan Baginda dalam kerangka Raja Berperlembagaan.