Penerbitan Buku Koleksi Terpilih Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor Berkaitan Hal Ehwal Islam menjadi antara usaha mendokumentasikan amanat dan panduan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sepanjang 25 tahun pemerintahan Baginda.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, buku berkenaan menghimpunkan titah ucapan Baginda berkaitan hal ehwal Islam ketika merasmikan pelbagai majlis, termasuk perasmian masjid dan forum keagamaan.
Menurut beliau, koleksi itu merangkumi pelbagai perkara yang ditekankan Baginda kepada umat Islam, khususnya berkaitan amanah, integriti serta tanggungjawab institusi agama dalam menjaga kemaslahatan masyarakat Islam.
“Titah-titah ini berkaitan apa sahaja yang Tuanku sampaikan kepada umat Islam dan masyarakat, termasuk perkara yang perlu dilaksanakan, terutamanya berkaitan amanah, integriti dan tanggungjawab institusi agama dalam menjaga kemaslahatan umat Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Siakap Keli pada Forum Perdana Ehwal Islam Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan 25 Tahun DYMM Sultan Selangor anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Shah Alam, malam ini.
Jelasnya, penerbitan buku itu juga boleh dimanfaatkan sebagai bahan rujukan oleh institusi pengajian tinggi dan penyelidik yang ingin menjalankan kajian berkaitan hal ehwal Islam di Selangor.
Ujarnya, usaha menghimpunkan titah ucapan tersebut merupakan satu pencapaian bermakna MAIS, selain menjadi sebahagian daripada usaha menghargai 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor.
Katanya, koleksi itu diharapkan dapat memastikan amanat dan panduan Baginda terus dirujuk serta dimanfaatkan oleh masyarakat dan generasi akan datang.

