Tindakan memotong bahagian tertentu pada selipar yang sering digunakan di masjid dan surau mencuri perhatian pengguna media sosial apabila seorang individu mempersoalkan tujuan di sebalik perbuatan tersebut.
Menerusi satu hantaran di Threads, pengguna dikenali sebagai @wiiewiinnn memuat naik persoalan mengenai selipar yang dipotong, khususnya apabila kebiasaannya bahagian hadapan menjadi sasaran, namun kali ini bahagian belakang pula kelihatan dipotong.

“Kenapa selipar selalu dipotong begini? Selalu jumpa yang dipotong di bahagian depan, kali ini bahagian belakang pula. Apakah tujuan di sebalik tindakan itu?” soalnya.
Hantaran tersebut kemudian mengundang pelbagai reaksi pengguna Threads yang berkongsi pandangan serta pengalaman masing masing.
Meninjau ruangan komen, seorang pengguna, @norfadhil, menjelaskan bahawa tindakan itu mungkin bertujuan mengelakkan selipar masjid atau surau daripada dibawa pulang oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Supaya orang awam tidak mudah membawa pulang atau mengambil selipar surau. Sekitar tahun 1990 an, banyak masjid dan surau menyediakan terompah kayu. Memang tidaklah orang mahu mengambilnya,” katanya.
Sementara itu, pengguna @afifhaziq_96 pula berkongsi pengalaman ketika zaman asrama apabila selipar turut ditandakan menggunakan besi panas sebagai langkah pengenalan.
“Kalau tidak dipotong pun, selipar perlu ditekap menggunakan besi panas berbentuk huruf. Lebih kurang seperti tanda pengenalan. Semasa zaman asrama, memang perkara ini biasa dilakukan,” jelasnya.
Ada juga pengguna yang mengambil kesempatan untuk berseloroh mengenai isu berkenaan.
“Selipar surau dan masjid pun ada yang mencurinya. Jelas,” tulis @sothenwhattiber.
“Lebih aerodinamik. Barulah orang boleh berlari dengan lebih laju,” seloroh @syzwnaziz_91.
Malah, @mohdaizuddinadnan turut mencadangkan secara berseloroh bahawa cara itu mungkin membuatkan seseorang berasa malu jika mahu mengambil selipar milik orang lain.
Dalam pada itu, @meerul_87 berkongsi pengalaman berbeza ketika berada di asrama apabila penggunaan selipar secara berkongsi sudah menjadi kebiasaan.
“Di asrama, sudah tidak kisah memakai selipar siapa. Kanan atau kiri, malah saiz pun tidak menjadi masalah,” katanya.

