Seekor kucing berbulu putih yang tampil dengan rantai berwarna emas mencuri perhatian pengguna media sosial selepas gambarnya tular di Threads.
Penampilannya yang cukup unik, ditambah pula dengan ekspresi wajah serius serta tompokan bulu hitam di bahagian dagu, membuatkan kucing berkenaan kelihatan seolah olah seorang ‘abang long’.
Menerusi perkongsian di Threads, pemilik akaun @m.asyiekin memuat naik dua keping gambar memaparkan kucing tersebut berada berhampiran longkang di kawasan perumahan.
Lebih mencuit hati, wanita itu turut berseloroh mengenai gaya kucing berkenaan yang disifatkan seakan mempunyai imej tersendiri.

“Gangster medan selera PJS 10. Siapa laaa pakai kan engko rantai tu cing. Dengan rambut sejemput siap belah tengah lagi,” tulisnya.
Perkongsian tersebut ternyata menghiburkan pengguna Threads apabila meraih lebih 153,000 tontonan dan 8,000 tanda suka.
Meninjau ruangan komen, rata rata pengguna media sosial turut terhibur dengan penampilan kucing berkenaan, malah ada yang mengaitkan wajahnya dengan watak samseng dalam filem tempatan.
“Ni haa geng dia kt PJS 10. Tengah tunggu ufti harian kt stall nasi ayam e-one,” kongsi anamorphic797.
“Dengan jambul belah tengahnya,” komen afizahharis.
“Nasib jari kecil kalau tak dah pakai cincin batu dah,” usik faizinhouse.
“Muka memang sombong gila kan,” kata zeti_iwani.

