Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tikus Boleh Masuk Rumah Melalui Ruang Kecil, Ini Cara Menghalangnya

cara
Kredit: Southernliving

Kehadiran tikus di dalam rumah bukan sahaja menimbulkan rasa kurang selesa, malah boleh mengundang risiko kesihatan sekiranya dibiarkan tanpa kawalan.

Lebih membimbangkan, haiwan perosak ini mampu menyelinap masuk melalui ruang yang sangat kecil dan tersembunyi, termasuk celah paip, rekahan pada dinding serta lubang di sekitar laluan kabel.

Selain menggunakan sabut keluli, tahukah anda bahawa kerajang aluminium yang biasa digunakan di dapur juga boleh membantu menghalang tikus daripada memasuki rumah?

Menurut perkongsian Southern Living, kerajang aluminium boleh digunakan sebagai penghalang sementara kerana permukaannya mempunyai bahagian tepi yang tajam dan menghasilkan bunyi berkeriut apabila digigit atau disentuh.

Keadaan itu dikatakan boleh menyebabkan tikus berasa tidak selesa ketika cuba menggigit atau menembusi bahan berkenaan.

Bagaimanapun, kaedah ini bukan penyelesaian kekal kerana tikus yang terus mencuba mungkin akhirnya berjaya merosakkan atau menembusi lapisan kerajang aluminium tersebut.

Cara menggunakan kerajang aluminium

Bagi menghalang tikus daripada memasuki rumah buat sementara waktu, pemilik kediaman perlu mengenal pasti terlebih dahulu ruang atau lubang yang berpotensi menjadi laluan haiwan berkenaan.

Antara kawasan yang perlu diperiksa termasuk ruang di sekitar peralatan elektrik, paip, saluran utiliti, asas bangunan, pintu dan tingkap.

Selepas mengenal pasti kawasan tersebut, sumbatkan beberapa lapisan kerajang aluminium yang direnyukkan menjadi gumpalan ke dalam lubang berkenaan.

Pastikan gumpalan itu dipadatkan dan dipasang dengan kemas supaya tikus tidak mudah menariknya keluar.

Sebagai langkah tambahan, kerajang aluminium juga boleh direndam dengan bahan berbau kuat yang tidak digemari tikus, seperti minyak pudina.

Namun, kawasan yang telah ditutup perlu diperiksa dari semasa ke semasa bagi memastikan tikus tidak berjaya menembusi penghalang tersebut.

Kerajang aluminium juga perlu digantikan dengan bahan yang lebih kukuh sebaik sahaja berpeluang melakukan pembaikan kekal.

Sabut keluli antara pilihan lebih tahan lama

Selain kerajang aluminium, penggunaan sabut keluli atau steel wool disifatkan sebagai pilihan lebih sesuai untuk menghalang tikus daripada memasuki rumah dalam jangka panjang.

Serat logam yang halus dan kasar menjadikan bahan itu sukar digigit tikus.

Untuk menggunakannya, sabut keluli perlu disumbat dengan padat sehingga menutupi keseluruhan lubang sebelum ditambah bahan pengedap seperti dempul atau semburan buih bagi memastikan kedudukannya tidak mudah berubah.

Bagi ruang yang lebih besar, pemilik rumah boleh menggunakan kepingan logam, simen, jaring dawai atau skrin logam yang dipotong mengikut saiz lubang.

Langkah ini penting kerana tikus bukan sahaja boleh merosakkan barangan di dalam rumah, malah berpotensi menyebarkan penyakit seperti hantavirus, leptospirosis dan salmonelosis melalui najis serta air liurnya.

Periksa kawasan tersembunyi yang boleh menjadi laluan tikus

Dalam pada itu, pemilik rumah disarankan memeriksa bahagian dalam dan luar kediaman bagi mengesan sebarang rekahan, celah atau lubang yang boleh menjadi laluan tikus.

Walaupun kelihatan terlalu kecil, tikus sebenarnya mampu menyelinap melalui ruang selebar kira kira 0.6 sentimeter, iaitu lebih kurang sebesar diameter sebatang pensel.

Antara kawasan yang perlu diberi perhatian termasuk:

  1. Sekitar tingkap dan pintu.

  2. Bahagian belakang peralatan elektrik.

  3. Ruang di dalam, bawah dan belakang kabinet.

  4. Sekitar paip di bawah singki dan saluran menuju ke pemanas air.

  5. Ruang loteng, ruang bawah tanah dan ruang bawah rumah.

  6. Sekitar saliran lantai di bilik dobi atau ruang bawah tanah.

  7. Sekitar lubang pengudaraan lantai, saluran pengering pakaian dan ruang bawah rumah.

  8. Sekitar laluan kabel elektrik, gas dan rangkaian komunikasi.

  9. Bahagian gelegar bumbung, cucur atap, talang air dan struktur bumbung.

Selain itu, pemilik kediaman juga perlu memastikan kawasan berhampiran rumah tidak menjadi tempat persembunyian atau sarang tikus.

Antara kawasan yang boleh menarik perhatian haiwan perosak ini termasuk timbunan kayu, longgokan daun kering, kawasan barbeku dan rumpai yang tidak dibersihkan.

Oleh itu, kawasan berkenaan perlu dibersihkan atau dialihkan jauh dari kediaman bagi mengurangkan kemungkinan tikus bersarang berhampiran rumah.

Intipati
  • Kerajang aluminium boleh menjadi penghalang sementara kerana tekstur dan bunyinya tidak digemari tikus.
  • Sabut keluli lebih tahan lama dan boleh dipadankan dengan dempul atau semburan buih.
  • Pemilik rumah disaran memeriksa celah kecil, kawasan tersembunyi dan persekitaran luar kediaman.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan