Dalam menghias kediaman, pemilihan warna dinding dan perabot sering menjadi keutamaan bagi memastikan ruang kelihatan lebih luas dan menarik.
Namun, tahukah anda bahawa warna siling juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi suasana serta persepsi keluasan sesebuah ruang?
Pemilihan warna yang tepat boleh membuatkan siling kelihatan lebih tinggi, manakala kombinasi warna tertentu pula mampu memberikan ilusi seolah olah siling lebih rendah.
Keadaan ini tidak semestinya sesuatu yang negatif. Siling yang kelihatan lebih rendah boleh menjadikan ruang besar terasa lebih intim, selesa dan mesra. Namun, bagi kediaman yang mempunyai siling rendah, pemilihan warna yang kurang sesuai mungkin menyebabkan ruang terasa semakin sempit.
Menurut beberapa pereka hiasan dalaman yang dipetik Southern Living, bukan warna semata mata yang menentukan kesan tersebut. Perbezaan warna antara siling dengan dinding serta kedudukan sempadan cat turut mempengaruhi bagaimana seseorang melihat ketinggian ruang.
Berikut empat pilihan warna dan teknik mengecat siling yang boleh memberikan ilusi ruang lebih rendah.
1. Warna Gelap Dan Pekat
Warna gelap seperti biru tua, hijau hutan dan kelabu arang sering dikaitkan dengan suasana yang lebih nyaman serta intim.
Penggunaan warna sebegini pada siling dan dinding boleh mewujudkan perasaan seolah olah ruang tersebut memeluk penghuninya, sekali gus menjadikan suasana lebih tenang.
Pereka hiasan dalaman, Katie Sharpton berkata, penggunaan warna gelap sesuai untuk ruang tertentu seperti bilik bacaan, ruang makan dan bilik santai yang memerlukan suasana lebih selesa.
Antara warna yang dicadangkan ialah London Clay, Studio Green dan Hague Blue daripada Farrow & Ball.
Sementara itu, Esther Ellard, pengasas dan pereka utama Effortless Designs di Georgia, Amerika Syarikat, turut mencadangkan warna Hale Navy daripada Benjamin Moore serta Rookwood Dark Green keluaran Sherwin Williams.
2. Warna Siling Lebih Gelap Berbanding Dinding
Selain menggunakan warna gelap sepenuhnya, pemilik rumah juga boleh memilih warna siling yang satu atau dua tona lebih gelap berbanding warna dinding.
Menurut Liz Fraser Wooten, pengasas bersama dan pereka utama Ashdown Studio, menambahkan kira kira 10 hingga 15 peratus cat hitam ke dalam warna asal dinding sebelum menggunakannya pada siling boleh menghasilkan perubahan visual yang ketara.
Beliau turut mencadangkan penggunaan warna daripada keluarga tona yang sama bagi menghasilkan perbezaan lebih lembut.
Sebagai contoh, warna Lambskin boleh digunakan pada dinding, manakala Brandy Cream daripada Benjamin Moore dipilih untuk siling.
Pereka hiasan dalaman dari Palm Beach, Florida, Lisa Erdmann pula menjelaskan bahawa perkara paling penting bukanlah jenis warna yang digunakan, sebaliknya perbezaan tona antara siling dengan dinding.
3. Kombinasi Warna Yang Mempunyai Kontras Ketara
Perbezaan warna yang terlalu ketara antara dinding dengan siling juga boleh menyebabkan ruang kelihatan lebih rendah.
Sebagai contoh, penggunaan warna putih terang pada siling bersama dinding berwarna gelap menghasilkan garisan pemisah yang jelas antara kedua dua permukaan.
Keadaan itu boleh membuatkan pandangan mata seolah olah terhenti pada bahagian siling, sekali gus mengurangkan ilusi ketinggian ruang.
Menurut Liz Fraser Wooten, kombinasi siling putih terang dengan dinding gelap boleh menyebabkan ruang kelihatan lebih pendek.
Situasi sama boleh berlaku apabila siling menggunakan warna pekat, manakala dinding dicat putih.
Bagaimanapun, pereka hiasan dalaman Kelly Sutherland berpandangan teknik menggunakan satu warna pada keseluruhan ruang juga tidak semestinya sesuai, terutama bagi kediaman yang mempunyai ketinggian siling sekitar lapan kaki.
Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya siling dikekalkan dalam warna putih, manakala kemasan tepi siling atau bingkai hiasan dicat menggunakan warna sama seperti dinding atau tona yang 25 peratus lebih pekat.
Wooten turut mencadangkan campuran warna dinding dengan 75 peratus cat putih untuk digunakan pada siling bagi menghasilkan peralihan warna yang lebih lembut.
4. Lanjutkan Warna Siling Ke Bahagian Dinding
Satu lagi teknik yang boleh dicuba ialah melanjutkan warna cat siling beberapa inci ke bahagian atas dinding.
Kaedah ini mengubah kedudukan visual sempadan antara dinding dengan siling, sekali gus memberikan ilusi seolah olah ketinggian ruang menjadi lebih rendah.
Pereka hiasan dalaman dari Austin, Texas, Rachel Peck pernah menggunakan teknik tersebut untuk menghasilkan kesan seperti kemasan bingkai hiasan siling tanpa perlu memasangnya secara fizikal.
Beliau menggunakan warna kuning keemasan seperti jerami pada siling sebelum melanjutkan cat kira kira dua inci ke bahagian dinding.
Selepas itu, satu ruang kosong selebar satu inci ditinggalkan sebelum satu lagi jalur warna selebar satu inci ditambah sebagai kemasan hiasan.
Hasilnya, teknik tersebut bukan sahaja memberikan kesan siling lebih rendah, malah menambah elemen dekorasi yang menarik pada ruang berkenaan.
Kesimpulannya, pemilihan warna siling bukan sekadar soal mencantikkan kediaman. Kombinasi warna, perbezaan tona dan teknik mengecat yang digunakan juga boleh mempengaruhi persepsi terhadap ketinggian serta suasana sesebuah ruang.
Jadi, sebelum memilih warna cat untuk siling, pertimbangkan terlebih dahulu kesan yang ingin diwujudkan supaya ruang kediaman kelihatan lebih seimbang dan selesa.

