Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tiada Lagi EV CBU Bawah 180kW Selepas 1 Julai Ini?

Azmil
TIADA EV 180KW

Tiada Lagi EV CBU Bawah 180kW Selepas 1 Julai Ini?

Dunia automotif tempatan hari ini dikejutkan dengan satu laporan besar melibatkan pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia. Kalau sebelum ini kita dengar banyak pilihan EV mampu milik bakal masuk, nampaknya impian itu mungkin terpaksa ditangguhkan buat seketika.

Menerusi laporan portal paultan.org, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dikabarkan telah mengeluarkan garis panduan baharu bagi EV import sepenuhnya (CBU) yang bakal mengubah 'landskap' harga kereta elektrik di negara kita.

Tiada Lagi EV Bawah 180kW

Bermula 1 Julai ini, mana-mana kereta EV yang dibawa masuk secara CBU perlu melepasi dua kriteria ketat ini:

  1. Nilai CIF Minimum RM200,000: Nilai Cost, Insurance, and Freight (CIF) – iaitu harga kereta sebelum cukai dan margin, mestilah tidak kurang daripada RM200k.

  2. Kuasa Output 180 kW ke atas: Kereta tersebut wajib mempunyai kuasa sekurang-kurangnya 245 PS (241 hp).

Secara ringkasnya, apabila nilai awal kereta sudah mencecah RM200k, selepas ditambah duti import, eksais, cukai jualan (SST) serta margin keuntungan pengedar, harga jualan akhir (RRP) dijangka akan melambung tinggi sehingga RM300,000 dan ke atas.

Model popular 'terpaksa' tarik diri?

Impak paling besar pastinya dirasai oleh jenama-jenama yang menawarkan EV segmen pertengahan.

Sebagai contoh, jenama popular BYD mungkin tidak lagi boleh menjual model seperti Atto 3, Dolphin, atau M6 secara CBU kerana kuasa outputnya tidak mencapai 180 kW.

Sehingga jenama-jenama ini memasang kereta-kereta mereka di Malaysia barulah model-model bawah 180kW kembali dijual di Malaysia.

Bukan itu sahaja, model-model lain seperti GWM Ora Good Cat, MG4, malah jenama besar seperti Toyota bZ4X juga 'tersekat' dengan peraturan baharu ini kerana belum dipasang di Malaysia.

Siapa 'pemenang' dalam situasi ini?

Ramai pemerhati menyifatkan langkah ini sebagai satu bentuk perlindungan kepada industri automotif tempatan. Antara yang dilihat mendapat perlindungan adalah:

  • Proton (e.MAS): Dengan ketiadaan pesaing rapat seperti Atto 3 dalam pasaran CBU, Proton e.MAS 7 dilihat bakal mendominasi pasaran EV tempatan tanpa gangguan dari pesaing jenama luar.

  • Program CKD: Langkah ini bagi menggalakkan jenama luar untuk melabur dan membina kilang pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia jika mahu mengekalkan harga kompetitif di bawah RM300k.

Apa nasib pembeli?

Bagi anda yang sudah memasang niat mahu memiliki EV dalam masa terdekat, pilihan anda mungkin menjadi semakin kecil selepas Julai ini.

Pasaran EV antara julat RM100k hingga RM300k diramal akan mengalami 'kemarau' buat sementara waktu sehingga lebih banyak jenama memulakan pemasangan tempatan.

Bagaimanapun, bagi stok sedia ada atau kereta yang sudah dalam perjalanan ke Malaysia sebelum tarikh tersebut, ia dilaporkan dikecualikan daripada syarat baharu ini.

Jadi, apa pendapat korang? Adakah ini langkah terbaik untuk melindungi industri tempatan atau ia sedikit sebanyak menyukarkan rakyat untuk beralih ke kereta elektrik?