Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

"The Textile Project Soirée" Menandakan Era Baharu Dalam Menghidupkan Semula Warisan Tekstil Tradisional Malaysia

Athirah
The Textile Project Soirée

"The Textile Project Soirée" Menandakan Era Baharu Dalam Menghidupkan Semula Warisan Tekstil Tradisional Malaysia

Majlis Kraf Malaysia (MCC) telah berjaya menganjurkan The Textile Project Soirée, sebuah acara budaya berprestij yang menandakan kemuncak kepada The Textile Project, iaitu satu inisiatif yang didedikasikan untuk memelihara dan menghidupkan semula warisan tekstil Malaysia yang semakin terancam, khususnya anyaman Songket Kelantan dan sulaman Kelingkan.

Dilancarkan pada tahun 2024, The Textile Project dibangunkan sebagai respons terhadap penurunan kritikal dalam kelangsungan seni kraf warisan ini, di mana setiap disiplin suatu ketika dahulu hanya disokong oleh seorang pengamal mahir tunggal yang masih aktif.

Melalui pendekatan berstruktur mentor–pelatih, program ini telah berjaya melahirkan generasi baharu penggiat seni, sekali gus memastikan kesinambungan tradisi yang rumit serta mempunyai nilai budaya yang tinggi ini terus terpelihara.

Setakat ini, MCC telah berjaya melatih:

  • 20 penenun Songket

  • 20 penggiat Kelingkan

Selain itu, melalui kerjasama dengan Penjara Pengkalan Chepa, inisiatif ini turut memperluaskan latihan kemahiran kepada:

  • 20 orang banduan dalam tenunan Songket

  • 20 orang banduan dalam sulaman Kelingkan

Memperkasakan komuniti melalui warisan

Presiden Pengasas MCC, Nik Faiz Nik Amin berkata The Textile Project bukan sekadar mengenai pemeliharaan warisan negara, tetapi ia juga tentang maruah, pemerkasaan dan peluang.

"Ramai penggiat seni kami datang daripada komuniti B40 dan isi rumah ibu tunggal, dan melalui inisiatif ini, warisan menjadi sumber pendapatan serta laluan ke arah masa depan yang lebih mampan," jelasnya.

Inisiatif ini berakar daripada usaha akar umbi MCC semasa pandemik COVID-19, apabila organisasi tersebut berhubung secara langsung dengan komuniti penggiat seni di seluruh negara dengan turun ke lapangan dari rumah ke rumah bagi memahami cabaran mereka serta memberikan sokongan.

Usaha ini telah menjadi asas kepada pembangunan program berstruktur yang berfokuskan rakyat, yang menangani kedua-dua aspek pemeliharaan budaya dan pembangunan sosioekonomi.

Daripada latihan kepada ekosistem mampan

"Kami percaya bahawa warisan mesti hidup dalam komuniti. The Textile Project bukan sekadar program latihan, tetapi model perintis bagi ekosistem perniagaan yang mampan, di mana penggiat seni boleh berkembang daripada pelajar kepada usahawan dan daripada pembuat kepada pemain pasaran," ujar beliau.

Melalui cabang perniagaan MCC, Ruzzgahara, para penggiat seni diberikan platform untuk memasarkan dan meletakkan hasil karya mereka dalam ekonomi kreatif, memastikan karya tersebut bukan sahaja dipelihara tetapi juga mempunyai kelangsungan komersial.

Melangkah ke hadapan, MCC akan menubuhkan The Textile Lab di Kota Bharu dengan sokongan Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga & Wanita Negeri Kelantan (UKEKWA).

Makmal ini akan berfungsi sebagai hab tetap bagi pengeluaran, latihan, inovasi dan keusahawanan, sekali gus memastikan kelestarian jangka panjang kraf serta para pengamalnya.

MCC juga sedang memperluaskan jangkauan melalui inisiatif seperti Projek Songket Gua Musang, yang membawa peluang kepada komuniti luar bandar serta memupuk bakat baharu dalam kalangan penggiat seni kraf.

Platform warisan dan prestij

The Textile Project Soirée menghimpunkan para penaung budaya, pemimpin industri, diplomat serta anggota komuniti antarabangsa menerusi pameran terkurasi, demonstrasi langsung dan pertunjukan tekstil eksklusif.

Acara ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Tengku Temenggong Kelantan dan Yang Mulia Tengku Puan Temenggong Kelantan, bersama Tuan Yang Terutama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Puan Yang Terutama Duta Besar Republik Persekutuan Jerman ke Malaysia, serta pegawai-pegawai kerajaan dan pihak berkepentingan utama.

Sokongan dan kepercayaan berterusan mereka telah memainkan peranan penting dalam membentuk serta memperkukuh inisiatif ini.

MCC turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Hasanah, UKEKWA, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta semua rakan kerjasama dan penyokong.

Ke arah agenda warisan global

Berdasarkan impak sosioekonomi yang telah dicapai serta pemerkasaan penggiat seni di Kelantan, MCC kini melangkah ke arah peranan yang lebih luas di peringkat global.

“Pada hari ini, MCC berbesar hati untuk berkhidmat sebagai ahli Badan Penilaian UNESCO bagi penggal 2026–2029, serta diiktiraf sebagai NGO UNESCO yang bertauliah sejak 2024

"Ini mencerminkan perjalanan kami daripada kerja komuniti akar umbi kepada sumbangan di peringkat antarabangsa dalam usaha memelihara Warisan Budaya Tidak Ketara,” kata Nik Faiz.