The Baker’s Son Buka Lembaran Baru Dengan Pensijilan Halal Rasmi Daripada JAKIM
Jenama bakeri tempatan, The Baker’s Son, hari ini mengumumkan bahawa Pusat Dapurnya telah menerima Pensijilan Halal rasmi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menandakan satu lembaran baru dalam perkembangan jenama ini sejak penubuhannya pada tahun 2009.
Pencapaian ini diraikan menerusi satu majlis yang berlangsung di cawangan The Baker’s Son di Sunway Geo dan disempurnakan oleh YBrs. En. Imran Abd Rahman, Penolong Pengarah Kanan, JAKIM, serta YBrs. En. Hanisofian Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Interim, Halal Development Corporation Berhad (HDC), bersama Daniel Teng, Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer; Joseph Teoh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer; Kimberly Xavier, Pengarah Rantaian Bekalan & Pasaran Segar Jaya Grocer; dan Peter Tan, Ketua Bakeri The Baker’s Son.
The Baker’s Son, jenama bakeri yang terdapat di dalam rangkaian kedai Jaya Grocer, sentiasa komited menggunakan bahan-bahan Halal dalam produknya sejak dahulu, namun Pensijilan Halal rasmi bagi Pusat Dapurnya oleh JAKIM kini memperkukuh lagi komitmen jenama terhadap aspek kualiti, kebersihan, keselamatan makanan serta keyakinan pengguna.
Bermula daripada minat sebuah keluarga terhadap seni pembuatan roti dan pastri melalui cawangan pertamanya di Mutiara Tropicana, The Baker’s Son kini membawakan produk bakeri yang segar di seluruh Malaysia menerusi lebih daripada 60 cawangan, sambil kekal berpegang kepada nilai kualiti, keprihatinan dan dedikasi. Hari ini, jenama tersebut menawarkan pelbagai produk bakeri yang segar, termasuk Butter Croissant, Caramel Cream Cheese Bun dan Portuguese Egg Tart yang menjadi antara pilihan kegemaran pelanggan.
“Sejak kecil, saya melihat sendiri semangat dan dedikasi yang dicurahkan oleh ayah saya dalam bidang pembuatan roti dan pastri, dan pengalaman itu sentiasa bersama saya. Apabila saya menubuhkan The Baker’s Son pada tahun 2009, saya ingin meneruskan semangat yang sama. Hari ini, penerimaan Pensijilan Halal rasmi merupakan satu pencapaian yang amat bermakna kerana ia bukan sahaja mencerminkan sejauh mana jenama ini telah berkembang, tetapi juga mewakili hasil usaha bersama semua yang membantu menjayakan perjalanan ini,” kata Peter Tan, Ketua Bakeri Baker’s Son.
Proses mendapatkan pensijilan tersebut mengambil masa selama sembilan bulan, mencerminkan usaha pasukan The Baker’s Son dalam memastikan keperluan dan standard Halal yang ditetapkan berjaya dipenuhi merangkumi segenap operasi Pusat Dapur.
Pusat Dapur tersebut membekalkan produk bakeri yang segar kepada lebih daripada 60 cawangan di seluruh Malaysia, menjadikan pensijilan ini satu langkah penting dalam memperkukuhkan jaminan Halal seluruh rangkaian The Baker’s Son yang terus berkembang.
Proses pensijilan melibatkan penelitian menyeluruh terhadap pelbagai aspek, termasuk sumber dan pengesahan bahan mentah, keperluan pembekal, proses pengeluaran, kebersihan dan sanitasi, keselamatan makanan, dokumentasi serta pematuhan. Proses ini turut melibatkan kerjasama pasukan pengeluaran, jaminan kualiti dan operasi, bersama para pembekal.
“Halal bukan sekadar berkaitan dengan bahan-bahan yang digunakan dalam sesuatu produk. Ia merangkumi sistem yang kukuh bagi memastikan keperluan Halal dipelihara sepanjang keseluruhan operasi perniagaan, bermula daripada sumber dan pengendalian bahan mentah hingga kepada proses pengeluaran serta kawalan operasi. HDC berbesar hati dapat menyokong The Baker’s Son sepanjang proses pensijilan Halalnya dengan memberikan panduan dan bantuan bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap piawaian Halal. Pensijilan bagi pusat dapurnya ini membuktikan komitmen syarikat dalam menerapkan jaminan Halal ke dalam operasi perniagaannya, sekali gus memperkukuh keyakinan pengguna dan menunjukkan bahawa amalan Halal boleh menjadi sebahagian penting dalam pertumbuhan perniagaan yang mampan,” kata Hanisofian Alias, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation Berhad (HDC).
Bagi meraikan perjalanan Halalnya bersama pelanggan, The Baker’s Son akan menawarkan Sugar-Dusted Doughnut pada harga RM1.00 dari 29 hingga 31 Ogos 2026, sementara stok masih ada. Tertakluk kepada terma dan syarat.
Pelanggan yang berkunjung ke The Baker’s Son turut boleh menikmati promosi istimewa sempena Merdeka dari 26 hingga 31 Ogos 2026 bagi pilihan produk bakeri segar, termasuk Country Oven Multiseed Bread pada harga RM6.90 (harga biasa RM8.90) dan Soft Sourdough Bread pada harga RM6.90 (harga biasa RM9.90), sementara stok masih ada. Tertakluk kepada terma dan syarat.
“Kami amat menghargai kepercayaan yang telah diberikan oleh pelanggan kepada kami selama ini. Seiring dengan lembaran baru ini, kami ingin meraikan pencapaian ini bersama mereka. Kami berharap hidangan istimewa dan promosi yang ditawarkan dapat memberikan lebih banyak sebab kepada pelanggan untuk menikmati produk bakeri kegemaran mereka bersama kami pada hujung minggu Merdeka ini,” tambah Peter.
Memasuki lembaran baru ini, The Baker’s Son akan terus membawa warisan keluarga yang menjadi inspirasi kepada penubuhannya, sambil menyediakan produk bakeri segar berkualiti kepada lebih ramai keluarga di Malaysia.
