Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tandas Awam 'Premium' di Perlis Curi Perhatian Netizen

Adib Haiqal
Tandas awam perlis
Kredit: Threads @zakwan.syazani

Tandas Awam 'Premium' di Perlis Curi Perhatian Netizen

Tandas awam sering dianggap sebagai satu kemudahan asas yang penting dalam kehidupan seharian, namun dalam kalangan masyarakat Malaysia, persepsi terhadapnya masih bercampur dan berbeza-beza.

Bagi sesetengah orang, tandas awam merupakan penyelamat ketika berada di luar rumah, terutama di kawasan tumpuan seperti stesen minyak, pusat beli-belah dan hentian rehat lebuh raya.

Namun, pada masa yang sama, isu kebersihan, bau yang kurang menyenangkan sentiasa bermain di fikiran.

Perkara ini menyebabkan segelintir masyarakat lebih memilih untuk menahan diri daripada menggunakannya jika tiada keperluan mendesak.

Berbeza pula ceritanya di Taman Sena Square, Kangar, Perlis apabila tandas awam di kawasan itu tular di media sosial kerana tampil dengan konsep yang moden, cantik dan sangat bersih.

Setaraf Fasiliti Premium, Tandas Awam di Perlis Curi Tumpuan Netizen

Baru-baru ini, seorang pengguna Threads bernama @zakwan.syazani telah berkongsi beberapa gambar yang memaparkan sebuah tandas awam di Taman Sena Square, Kangar, Perlis yang kelihatan sangat bersih dan terjaga dengan baik.

“Berapa bintang untuk tandas awam ni?” soalnya dalam hantaran tersebut.

Sekali pandang, tandas awam tersebut memberi gambaran seolah-olah sebuah fasiliti moden yang bersih, kemas dan selesa, jauh berbeza daripada stereotaip biasa terhadap tandas awam.

Dihiasi dengan reka bentuk minimalis berwarna putih serta diserikan dengan cahaya lampu tona hangat yang menenangkan, ia menjadikan tandas awam tersebut seakan-akan ruang rehat moden yang elegan dan selesa, bukan sekadar kemudahan asas di kawasan awam.

Rekaan Dalaman Yang Memikat Hati Pengunjung

Bukan sekadar tampil elegan dari luar, bahagian dalamnya turut memperlihatkan rekaan yang kemas, bersih dan tersusun, sekali gus memberikan pengalaman lebih selesa kepada pengguna.

Kredit: Threads @zakwan.syazani

Siling yang tinggi dengan kekuda besi berwarna hitam serta kipas bersaiz besar tampak serasi dengan lantai mozek bercorak klasik, mewujudkan keseimbangan antara elemen moden dan sentuhan retro.

Sementara itu, sinki mangkuk putih yang diletakkan di atas kaunter marmar melengkapkan lagi susun atur ruang, menjadikan keseluruhan suasana tampak kemas, estetik dan menyenangkan pandangan.

Kemudahan Mesra OKU dan Keluarga Jadi Tarikan Utama

Selain daripada rekaannya yang menarik serta tahap kebersihan yang terjaga, tandas awam ini turut dilengkapi dengan kemudahan mesra OKU dan keluarga.

Fasiliti khas untuk pengguna OKU dibina dengan ruang yang lebih luas, disertakan pemegang keselamatan, sinki khusus serta susun atur yang memudahkan pergerakan pengguna kerusi roda.

Kredit: Threads @zakwan.syazani

Dalam masa yang sama, turut disediakan ruang khas untuk ibu bapa, termasuk kemudahan menukar lampin bayi bagi memberi keselesaan kepada keluarga yang membawa anak kecil.

Kredit: Threads @zakwan.syazani

Lengkapnya kemudahan yang disediakan ini mendapat pujian ramai pengguna, yang melihat ia sebagai satu usaha positif dalam memastikan tandas awam lebih inklusif dan mesra semua lapisan masyarakat.

Reaksi Netizen

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan rasa kagum dan terpesona dengan tahap kebersihan serta reka bentuk tandas awam tersebut yang dianggap luar biasa dan jauh berbeza daripada kebiasaan.

Netizen turut memuji penjaga-penjaga tandas tersebut yang disifatkan sangat komited dan teliti dalam memastikan kebersihan serta keselesaan fasiliti itu sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Punyalah cantik sampai ada yang menyangka ia kafe baharu yang baru dibuka,” komen seorang warga maya.

“Pakcik Raju, Encik Umar dan menantu yang menjaga tandas ini semuanya sangat ramah dan mesra,” kata seorang lagi pengguna.

“Saya beri lima bintang, bersih, wangi dan selesa. Semoga keadaan seperti ini dapat dikekalkan untuk jangka masa panjang,” tulis seorang lagi netizen.